DALAM kita masih merayakan eid mubarak – perayaan yang diberkati – dan baru saja mengingati ulang tahun kemerdekaan, Kunta Kinte nak cakap sikit mengenai dua peristiwa ini.
Pasal raya puasa, Kunta Kinte tengok dah sangat berlainan daripada zaman Kunta Kinte budak-budak dulu. Hari raya dulu dan sekarang dah tak sama lagi. Dulu sepasang pakaian baru belum tentu mampu. Kunta Kinte masuk sekolah menengah baru dapat kasut kulit. Sebelum tu, paling-paling hebat pun kasut kanvas Bata. Kalau tidak, kasut Fung Keong saja. Tu pun dah cukup bagus pasal ramai lagi yang pakai selipar atau kaki ayam saja. Duit 10 sen besarnya sama dengan roda kereta lembu. Masa itu, kereta lembu dan kereta kerbau ada lagi. Bas Mara belum ada. Jadi, kalau nak berjalan jauh kena naik basikal atau tumpang ‘prevet’ – kereta persendirian yang angkut penumpang. Teksi belum ada lagi.
Sekarang, pakaian berjenama, Iphone, Ipad, Skype dan teks dah jadi perkara biasa. Orang tua-tua pun Kunta Kinte tengok dah terbawa-bawa. Ada yang lebih asyik dengan mainan komputer dan SMS daripada layan tetamu. Cukup tak sedap.
Makan tak kira lagilah. Tak hairanlah bangsa kita dah lebih daripada gemuk. Dah boroi dan obes. Nak cari anak dara pinggang ramping dan badan langsing pun dah susah. Kalau tak jaga, satu hari nanti, satu Malaysia boleh kena penyakit kronik sebab terlebih makan dan makan tak jaga.
Jadi, dalam kita seronok raya, Kunta Kinte harap kita janganlah lupa, bukan apa, cuma takut-takut Melayu tak hilang di dunia tapi hanyut di Malaysia. Pada bulan Ramadan, Kunta Kinte pergi solat waktu dan tarawih di beberapa buah masjid dan surau. Di Masjid KLCC, Melayu hampir-hampir hilang di dunianya sebab penuh dengan pendatang dan pelawat asing.
Malaysia dah jadi sangat kosmopolitan – dibanjiri orang asing. Ada yang halal, ada yang makruh dan ramai yang haram. Buatlah pemutihan ka, pengampunan ka, maaf cakaplah, Kunta Kinte nampak sama saja. Pi mai pi mai tang tu sebab walhasil balik asal, itu pasal tak hasil.
Takut-takut daripada kosmopolitan jadi syaitan.
Ngam-ngam 31 tahun lalu, masa dalam penerbangan pergi-balik Kuala Terengganu dengan kapal terbang eksekutif Kerajaan Malaysia, Kunta Kinte bincang hal yang sama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri waktu itu, Tun Musa Hitam.
Dalam hal kemasukan pendatang dan cara kita urus atau lebih tepat, tak urus mereka, Kunta Kinte nampak tak ada banyak perbezaan di antara dulu dan sekarang. Cakap banyak, aksi kurang.
Jadi, orang Utara kata, dah magli bila dengar ikrar dan janji pasal isu pendatang ni. Dah tak tahu dan tak berani nak komen sebab macam-macam dah jadi, tapi tak selesai-selesai lagi. Yang Kunta Kinte tengok, kita makan nasi sepinggan, pendatang India makan tiga pinggan sekali jalan. Tak hairanlah import beras subsidi kita naik dari tahun ke tahun dan harga barang melambung.
Kunta Kinte tak tahulah kalau pemandangan di masjid, pasar raya dan pusat beli-belah itu berupa pratunjuk kepada apa yang akan terjadi kepada Malaysia pada masa akan datang – ditakluki pendatang.
Adakah orang Melayu akan terus jadi tuan rumah, duduk di serambi atau jadi fakir terperosok di ceruk dapur merayu simpati? Wallahualam.
Di kawasan tempat Kunta Kinte tinggal, majoriti penduduk adalah Cina. Rumah mereka dan kereta mereka lebih besar daripada rumah dan kereta Melayu. Selepas lebih 50 tahun mereka, ekonomi mereka gemilang, ekonomi Melayu masih layu, tapi Melayu saja yang kibar Jalur Gemilang.
Seelok-eloknya, biarlah orang Melayu terus duduk di serambi, kekal makmur di buminya sendiri dan, seperti kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia. Tapi soalnya, Melayu macam mana?
Balik kepada eid mubarak, sebagai ayah, Kunta Kinte bersyukur walaupun berasa sayu pasal tiga daripada lima anak Kunta Kinte tak ada di sisi untuk bermaaf-maafan dan memberi ciuman sayang pada hari raya.
Dua ada di Switzerland – seorang menetap di sana bersama suami dan tiga anaknya dan seorang lagi ke sana untuk temu duga permohonan pengajian lepasan ijazah. Yang ketiga sedang belajar di Australia.
Kita semua ada suka dan duka hari raya. Namun kita masih boleh bersyukur sebab dapat sekali lagi berpuasa Ramadan dan berhari raya dalam suasana aman dan gembira.
Akhir kalam, Kunta Kinte ucapkan selamat hari raya dan mohon maaf kalau ada sikap dan salah. Wassalam - BH
No comments:
Post a Comment