02 September 2011

Mat Sabu : Pasai apa saya nak minta maaf? Biar polis siasat

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak akan memohon maaf terhadap kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong kerana perkara itu hanya putar belit Utusan Malaysia dan dijadikan isu oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Sebaliknya Mohamad (gambar) berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis yang telah pun menghubunginya untuk disoal siasat.

“Pasal apa saya nak minta maaf, biar polis siasat,” kata beliau dipetik Harakahdaily lewat petang ini.

Mohamad juga berkata beliau telah pun dihubungi pihak polis berhubung siasatan yang akan dijalankan terhadapnya.

Bagaimanapun katanya, belum ada tarikh khusus ditetapkan untuk sesi soal siasat.

“Saya telah terima panggilan telefon daripada pihak polis nak panggil beri keterangan. “Saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya lagi.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan kenyataan Mohamad yang dikatakan menghina pasukan polis baru-baru ini.

Menurut Khalid, kertas siasatan itu telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh,” kata beliau.

“Ia telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong,” katanya.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive