09 October 2011

Bajet 'Gula-Gula' 2012 - Akan bebankan rakyat lepas PRU 13

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Sambil menyifatkan Bajet 2012 diumumkan semalam sebagai belanjawan pilihan raya dengan pelbagai pemberian’gula-gula’ oleh kerajaan BN kepada rakyat untuk dinikmati dalam jangka pendek, Pemuda PAS mendakwa kesannya akan membebankan orang ramai setelah selesai pilihan raya umum ke-13.

“Sebelum pilihan raya, mereka sanggup memberikan apa sahaja kepada rakyat dengan melibatkan peruntukan yang besar, tetapi setelah selesai pilihan raya dan kemenangan pula berpihak kepada mereka, rakyat pasti akan dikenakan pelbagai bebanan lain pula nanti,” kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan hari ini.

“Jika dalam pilihan raya umum ke-13 nanti dimenangani oleh BN juga, selesai sahaja pilihan raya, barangan keperluan utama rakyat pasti akan dinaikkan secara mendadak oleh kerajaan, di samping pelbagai jenis cukai,” kata beliau.

Permainan seperti itu, menurut beliau, sememangnya telah dilakukan oleh BN sejak dulu dan ia amat perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini agar tidak terus tertipu.

Malah sekarang pun, kata Nasrudin, rakyat juga boleh menilai tentang permainan BN itu apabila banyak juga peruntukan lain yang disediakan itu jelas memberikan keuntungan kepada para pemimpin BN dan kroni-kroni mereka sendiri.

“Tindakan itu dilakukan menerusi pemberian subsidi tertentu kepada pihak-pihak terbabit, tetapi tidak pula ditambah peruntukan subsidi petroleum bagi menurunkan harga minyak untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang ramai,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Kata beliau, kerajaan BN ternyata terus kekal dengan ketidakadilannya apabila menganaktirikan 12 juta pekerja yang juga rakyat negara ini menerusi Bajet 2012.

Bajet 2012 dengan dana RM232.8 bilion dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi bajet tersebut, jelas beliau, kerajaan hanya mementingkan 1.3 juta pekerja sahaja yang juga para penjawat awam dengan kenaikan gaji RM500 sebulan mulai tahun hadapan, tetapi menafikan hak pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya.

Nasrudin menambah, dengan ketidakadilan itu, bajet tersebut ternyata hanya bersifat one off dan ia tetap gagal menyelesaikan masalah kewangan serta kos sara hidup tinggi yang dialami oleh rakyat negara ini.

Menurut beliau, dengan itu, bajet tersebut jelas bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat bagi memancing undi pilihan raya, tetapi tetap gagal menyelesaikan permasalahan dan bebanan yang dialami oleh rayat dalam jangka masa panjang.

Katanya, ketidakikhlasan kerajaan BN dalam membantu rakyat turut kelihatan apabila bekas polis dan tentera termasuk yang bertugas ketika zaman darurat sama ada balu, duda dan sebagainya hanya baru dibantu sekarang dengan sumbangan RM3,000 seorang.

“Pada hal mereka sepatutnya dah lama diberikan bantuan seperti itu. Kenapa baru sekarang hendak diberikan?” katanya lagi.

Bagaimanapun, menurut beliau, kesemua pihak terbabit wajar menerima sumbangan tersebut kerana ia sememangnya merupakan hak mereka sendiri yang sepatutnya sudah lama diberikan oleh kerajaan.

Katanya, sungguhpun begitu, Pemuda PAS tetap meragui sama ada sumbangan tersebut benar-benar akan sampai kepada sasaran.

“Sejak dulu, BN sememangnya terkenal dengan masalah ketirisan dalam pengagihan sumbangan-sumbangan seperti itu kepada golongan sasar.

“Kali ini, pelbagai pihak turut meragui sama ada wang tersebut akan sampai sepenuhnya kepada sasaran atau tidak atau tetap terus tiris di tengah jalan juga seperti yang lalu,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini tidak terpengaruh dengan gula-gula BN itu kerana ia tetap tidak akan memihak kepada rakyat. - TMI

1 comment:

Anonymous said...

pembetulan;penjawat awam dpt rm500 tu bonus bln Dec.Rm80 utk kenaikan tahunan,Bukan yg mcm sedara tulis kenaikan gaji Rm500 sebulan mulai tahun hadapan.Tetapi ramai juga org pencen k'jaan dpt bonus Rm500 tetapi sokong pembangkang x usah ambil bonus dgn k'jaan mintaklah dgn presiden parti masing2.Barangan keperluan tiap2 tahun naik kadang2 1thn 2x tak payah tunggu PRU13,sebabnya bangsa mana kuasai ekonomi negara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive