20 November 2011

Dosa besar Noh Omar kepada petani - Faekah

Nampaknya pengumuman Kerajaan Negeri untuk mengadakan pilihanraya selepas bulan Jun pada tahun 2012 yakni setelah 4 tahun memerintah, menggusarkan UMNO-BN. Ramai yang melenting dan berbagai tuduhan pula dilemparkan. Kerajaan Negeri melihat tiada sebab pilihan raya awal diadakan kerana mandat yang diberikan rakyat kepada Kerajaan Negeri sekarang hanya akan tamat selepas Mac 2013.

Alasan yang diberikan oleh Dato Menteri Besar amat jelas bahawa kita tidak mahu mencontohi amalan UMNO-BN pada 2008 bilamana pilihanraya diadakan pada Mac 2008 semua peruntukan ADUN UMNO-BN pada tahun tersebut telah habis digunakan walaupun bajet baharu sahaja dibentangkan pada November tahun sebelumnya. Perkara ini didedahkan Dato' Menteri Besar di dalam sidang DUN baru-baru ini dan tidak seorangpun ADUN BN yang mampu menjawabnya.


Dato Menteri Besar juga menegaskan Kerajaan Negeri mahu memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2012 benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang.

Seperti dijangka, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar turut mahu mengambil bahagian di dalam isu ini dengan mempertikai keputusan tersebut dan menuduh MB tunjuk dan gila kuasa; takut menghadapi pilihanraya. Sejak isu penyalahgunaan dana untuk projek menternak lembu dibongkar, Noh menjadi tidak keruan. Jawapan-jawapan yang diberikan oleh beliau langsung tidak menunjukkan pemikiran seorang menteri.

Noh tiada kredibiliti untuk mempertikaikan keputusan Kerajaan Negeri Selangor ini. Selaku menteri kabinet, beliau telah gagal melaksanakan tugas malah terlalu banyak isu kontroversi yang gagal ditanganinya. Isu lembu-NFC misalnya, sebagai anak syarikat yang diletak di bawah kementeriannya, Noh bertanggungjawab untuk menjelaskan bagaimana geran RM250 juta dibelanjakan termasuk untuk membeli kondomonium.

Selain gagal, Noh juga cetek ilmu dalam pengurusan kewangan. Noh nampaknya begitu ghairah untuk menonjol di mata Perdana Menteri serta cuba untuk menenggelamkan peranan Datuk Satim Diman selaku Ketua Pembangkang, apatah lagi Ketua Pembangkang itu sendiri turut bergelumang dengan skandal.

Dengan tidak semena-mena pula Noh turut menuduh Kerajaan Negeri tidak mahu bekerja sama dengan Pusat, berpolitik dalam isu pertanian. Noh sepatutnya menjadi orang yang terakhir untuk memberi pandangan jangan berpolitik dalam isu rakyat. Rakyat Selangor terutama golongan petani pasti masih ingat bagaimana tindakan Noh yang berpolitik sempit dan Menteri yang menunjukkan kuasa terhadap seorang pegawai pertanian Selangor yang telah bekerjasama dengan kerajaan negeri di dalam usaha meningkatkan daya pengeluaran petani.

Selaku Menteri, Noh telah mengarahkan pegawai tersebut dipindah keluar dari Selangor dan dimasukkan di dalam "cold storage" yang akhirnya pegawai tersebut mengambil keputusan memilih bersara awal.

Namun pegawai kerajaan yang cekal mahu berbakti kepada rakyat ini kini terus bekerja di bawah kerajaan negeri bagi satu projek penanaman padi organik; System of Rice Intensification (SRI) di atas pembiayaan Pemerbadanan Menteri Besar ( MBI ).

Dosa paling besar Menteri Pertania terhadap petani padi di Selangor dan seluruh Negara ialah apabila pada Okt, 2009 Noh telah mengarahkan penutupan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sg Burong yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian. Ini adalah satu-satunya pusat pengeluaran benih di Selangor yang mengeluarkan benih sebanyak 7200 tan setahun dan membekalkan keperluan benih yang berkualiti kepada petani negeri ini. Selangor memerlukan 5,000 tan setahun, dan selebihnya adalah untuk kawasan jelapang padi yang lain.

Tindakan Noh Omar telah meletakkan keselamatan makanan dalam negara dalam keadaan yang merisaukan kerana bekalan benih padi tidak lagi di bawah kawalan kerajaan seperti sebelumnya. Ini bermakna, sekiranya ada apa-apa bencana alam berlaku, negara mungkin menghadapi masalah membekalkan benih padi kepada petani. Ini telah pun berlaku pada bulan Okt, 2011 dimana petani Kedah dan Perlis mendapati masalah mendapatkan bekalan benih.

Noh pada masa yang sama jangan berbangga dengan peruntukan RM150 juta yang dikeluarkan oleh kementeriannya kepada petani di Selangor. Hakikatnya, sehingga hari ini Noh masih belum menjawab pendedahan kita bahawa peruntukan tersebut telah disalur kepada syarikat monopoli milik kroni. Harga benih padi yang diberikan adalah jauh lebih tinggi dan lebih malang lagi tidak berkualiti. Akibatnya telah membawa kesengsaraan kepada petani di Tanjung Karang dan Kuala Selangor. Selain menghantar samseng memukul pelapor dan menggertak petani, Noh menikus dalam isu ini. Jika benar PM mahu meletakkan Noh menerajui UMNO Selangor, dengan mempunyai kualiti sebegini maka seeloknya PM berfikir semula.

YAB Dato' Menteri Besar Selangor sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat Selangor, terutama petani sebagai agenda utama negeri Selangor. Dari awal tahun 2009, kerajaan negeri Selangor telah melaksanakan Program Peningkatan Hasil Padi Negeri Selangor bagi tempoh 2009-2013. Kerajaan negeri juga menyediakan hadiah RM 100,000 kepada Pasukan-Pasukan Kerja Projek yang berkerja kuat mendorong ahli-ahli kumpulan tani untuk mencapai hasil yang lebih tinggi.

Adalah diunjurkan peningkatan hasil kepada 7.5 tan sehektar menjelang 2013. Tidak cukup dengan itu, Dato MB turut memperkenalkan SRI pada 2010 bagi meningkatkan produktiviti padi negeri. SRI ini telah diterimapakai oleh 48 negara di dunia, dan mendatangkan banyak manfaat termasuk peningkatan hasil dan pendapatan petani, serta menjaga keselamatan serta kesihatan seluruh keluarga tani.

Kerajaan negeri terus mengadaptasikan penggunaan SRI yang memberi penjimatan kos pengeluaran melebihi RM1000 sehektar semusim, dan peningkatan hampir 1 tan bagi setiap hektar. Penjimatan kos dan juga peningkatan hasil memberi rahmat kepada petani yang mana petani dapat menjana pendapatan yang lebih dari biasa. Pada masa yang sama dapat mengurangkan penggunaan agrokimia tanpa menjejaskan hasil padi. Ini adalah satu pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan negeri untuk menjaga kesejahteraan petani-petani di Selangor. Apabila kesemua kawasan padi di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah mengamalkan SRI, diunjurkan penjimatan sejumlah RM 15 juta setiap musim. Ini adalah pendapatan terus kepada petani.

Kementerian Pertanian walau bagaimanapun tidak langsung menunjukkan minat terhadap usaha kerajaan negeri ini. Tiada siapa pun dari Persekutuan datang bertanya pasal SRI, jadi dari mana datangnya penyataan bahawa kerajaan negeri tidak memberi kerjasama.

Noh berbangga dengan program TEKUN sedangkan program ini tidak menampakkan hasil dalam melahirkan usahawan Bumiputera, sebaliknya berjaya melahirkan ramai penghutang Bumiputera. Inilah akibatnya jika Menteri terpesong serta niat membantu rakyat tidak ikhlas dan sekadar melepaskan batuk ditangga maka berlakulah penyelewengan terhadap wang rakyat.

Berbanding dengan Skim Mikro Kredit Miskin Bandar atau MIMBAR dan Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar atau SKIMSEL yang telah membawa manfaat kepada rakyat. Inilah konsep sebenar dari rakyat kepada rakyat yang memerlukan bukan dari rakyat kepada rakyat terpilih.

SKIMSEL telah memberi manfaat kepada lebih 4,300 peminjam dengan peruntukkan lebih RM12 juta manakala MIMBAR lebih RM3 juta kepada lebih 3,000 peminjam. Amat membanggakan kerana pembayaran balik pinjaman hampir 100%.

Walaupun peruntukan tidak sebanyak TEKUN tetapi dengan pengurusan amanah, telus dan bertanggungjawab, program ini berjaya dan terus memberi faedah kepada kumpulan sasaran. Tidak seperti projek dimana lembu-lembu mulai menginap di kondominium mewah akibat dari tindakan manusia yang mentadbir menggunakan 'otak lembu'.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive