18 November 2011

Pengarah Terbaik FFM24 - Mamat Khalid atau Syamsul Yusuf?

Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24) sudah menjadi milik Pengarah Filem ‘Libas’, Jurey Latiff Rosli. Siapa pula akan dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik tahun ini? Mudah-mudahan keputusan pada malam kemuncak esok tidak mengundang kontroversi lagi? Biarlah yang benar-benar layak mencipta kejayaan. Bukan kerna pengaruh, kawan-kawan atau sebaliknya? Macam yang dikatakan oleh penerbit Raja Azmi, juri harus telus agar industri filem tempatan tidak rosak!

Tahun ini kategori ini menyaksikan pertandingan cukup menarik kerana ia menampilkan tiga nama yang turut berentap pada tahun lalu iaitu Ahmad Idham (Senjalaka , Syamsul Yusof (KL Gangster) dan Mamat Khalid (Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR)). Kehadiran Osman Ali dan Yusry Abdul Halim menambahkan kehangatan kerana masing-masing mempunyai naskah yang bagus iaitu Cun! dan Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

Dalam kelima-lima nama ini Osman Ali mempunyai sedikit kelebihan kerana Cun! telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011). Namun GUA lebih berminat dengan pertembungan dua individu ini iaitu Syamsul Yusof dan Mamat Khalid. Umum mengetahui kemenangan Syamsul Yusof menerusi filem Evolusi KL Drift tahun lalu mengundang kekecewaan kepada Mamat Khalid kerana pengarah ini meletakkan harapan tinggi terhadap filem Estet.

Seandainya tahun ini Mamat Khalid tewas sekali lagi kepada Syamsul Yusof, GUA jangka kedua-dua individu ini akan ‘perang’besar. Kali ini Mamat Khalid mempertaruhkan filem box office HKLBR, manakala Syamsul, KL Gangster. Kedua-dua filem ini mendapat sambutan hangat di pawagam.

Memang HKLBR mencetuskan satu fenomena, tetapi itu tidak boleh dijadikan ukuran. Populariti tidak boleh mengatasi kualiti. Bagi GUA kedua-dua naskah ini mempunyai kekuatan sendiri. Mamat Khalid memang terkenal sebagai pengarah yang mampu berfikir di luar kotak pemikiran.

Dia berjaya membentuk karektor pelakon yang mungkin sebelum ini orang lain tidak nampak. Contohnya Awie, siapa sangka rocker ini boleh menjayakan watak lucu dengan baik? Dalam kelucuan, HKLBR sebenarnya sarat dengan mesej kritikan dan sindiran yang mengajak penonton supaya sama-sama memikirkan tentang situasi masyarakat dan perkembangan dalam negara. Cerita ini begitu dekat dengan masyakarat Melayu.

Tentang naskah Syamsul Yusof pula, tidak dinafikan cerita ini menjadi pilihan utama golongan muda. Tetapi GUA melihat formula yang digunapakai oleh Syamsul masih sama dengan Evolusi KL Drift iaitu gejala sosial di kalangan muda-mudi. Mesej yang cuba disampaikan juga lebih kurang sama. Selain itu, GUA juga berpendapat filem ini tidak mencerminkan jatidiri filem Malaysia. Gangsterisma, dadah, arak, perempuan-perempuan seksi adalah mainan filem barat. Sebab itu, kanak-kanak tidak begitu sesuai menonton filem ini!

Walau apa pun, GUA percaya barisan juri lebih bijak membuat penilaian. Mungkinkah pengarah HMM, Yusry Abdul Halim yang mencipta keyaaan? Jangan lupa, lelaki ini sudah membawa pulang trofi Kesan Visual Terbaik di Malam Anugerah Cipta pada Rabu lalu.

Sama-sama kita nantikan keputusan rasmi pada 20 November ini. - gua.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive