02 January 2012

Lagi Surat Terbuka kepada POLIS

by Hanglekiu

Salam sejahtera buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang terkenal dengan slogannya ‘Cepat, Mesra dan Betul’. Hamba ingin menarik perhatian pihak tuan kepada peristiwa berdarah 1 Januari 2012 ketika penyuraian Himpunan Kebebasan Akademik di hadapan UPSI yang rata-ratanya disertai mahasiswa dan belia.

Di beberapa Negara yang pernah hamba berkelana, polis dianggap sebagai perkakas rejim dan bukan sebagai penjaga keselamatan awam. Polis juga ditakuti dan dibenci bukan diharapkan dan dihormati sebagai penjaga undang-undang.

Polis menjadi simbol kezaliman dan bukan panji-panji keamanan. Sehingga ada yang sanggup melabel polis sebagai anjing-anjing suruhan, yang bertindak mengikut arahan tuan tanpa berperikemanusiaan. Hamba pohon PDRM untuk tidak menjadi sedemikian di Tanah Tumpah Darahku, Malaysia tercinta ini.

Bersempena dengan tahun baru 2012 suka hamba selusuri beberapa peristiwa menarik yang berlaku sepanjang tahun sebelumnya, yakni 2011. Pertama, suka hamba ceritakan tentang Revolusi Tunisia, nyalaan api pengingkaran sivil yang berakar umbi daripada peristiwa seorang beliawan bernama Boazizi.

Bertitik tolak daripada tindakan kasar polis merampas gerainya, beliau membakar dirinya sehingga tindakan tersebut menjadi inspirasi kebangkitan rakyat menjatuhkan Presiden Zainal Abidin Ali.

Kedua, suka hamba kisahkan berkenaan Revolusi Belia Mesir, ketikamana anak-anak muda menggunakan Facebook dan laman interaktif sosial untuk meletupkan public disobedience.

Kempen kebangkitan ini tidak lain tidak bukan meletup kerana tindakan kasar polis memukul dan membunuh seorang aktivis belia bernama Khaleed Said dan kemunculan Laman Facebook, Youtube “We are all Khaleed Said” yang membela kematiannya. Tuan tahu bukan apa akhirnya berlaku kepada Presiden Husni Mubarak?

Ketiga, revolusi dan pergolakan di Yaman yang masih berterusan sehingga kini. Paling mengejutkan hamba antara tokoh yang terjulang namanya membakar semangat kebangkitan hanyalah seorang aktivis beliawati bernama Tawakel Karman! Perhatikan juga, semakin keras, ganas dan zalim perkakas kerajaan menentang rakyat, sebegitu keras, ganas dan dahsyat juga tindakbalas yang diterima!

Tuan perhatikan sendiri bagaimana hakikat yang berlaku di Libya. Bagaimana pula di Syria? Mengapa polis dan angkatan tentera begitu payah sekali menghadapi anak-anak tempatan, rata-ratanya bersenjatakan suara dan kain rentang?

Mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa berkenaan saya mohon dua perkara daripada PDRM. Mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim kepada mahasiswa mahupun belia yang bangkit melaungkan perjuangan. Hamba risau darah muda mereka menggelegak kepanasan untuk bertindak balas.

Kedua, mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim sehingga muncul Boazizi, Khaleed Said dan Tawakel Karman versi Malaysia. Kecederaan Safwan Anang sudah cukup membakar semangat juang para mahasiswa! Jangan katakana tidak diberi ingat!

Yang tulus benar,
Hanglekiu
Sekolah Konsultansi Panglima

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive