13 February 2012

Sambutan Hari Kekasih boleh rosak Aqidah - Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

(Merdeka Review) - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ingin menggesa seluruh umat Islam supaya mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke-71 pada 22-24 November 2005 yang telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.  Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Berpandukan kepada keputusan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut yang boleh diakses melalui laman web e-fatwa Jakim di alamat www.e-fatwa.gov.my, sewajibnya seluruh umat Islam akur serta memahami bahawa sambutan perayaan hari Valentine adalah sesuatu amalan yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.  Aqidah adalah menjadi perkara teras dalam ajaran agama Islam yang mesti dipelihara oleh setiap umat Islam.


Adalah menjadi keperluan mendesak kepada seluruh umat Islam untuk memahami isu ini bahawa sambutan perayaan hari Valentine adalah sesuatu aktiviti yang dilarang dalam Islam kerana mempunyai susur galur sejarah yang berkaitan dengan agama bukan Islam.  Elemen ini adalah elemen utama yang menjadi alasan keharaman sambutan perayaan Valentine bagi seluruh umat Islam.  Dasar ini adalah selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Kaafirun, ayat 1-6 yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.  Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah.  Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.  Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat.  Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

PUM juga menyokong inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah melancarkan kempen Awas!  Jerat Valentine's bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pihak NGO, Raudhah Sakinah.  Pada hemat PUM, pendekatan seumpama ini mesti dikembangkan ke seluruh pelosok tanah air supaya dapat membantu membina kefahaman umat Islam khususnya di kalangan orang muda dalam menangani isu tersebut secara objektif.

Dalam pada masa yang sama, PUM juga mengesyorkan kepada pihak berwajib seperti Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak-pihak berkepentingan lain melakukan pemantauan berterusan kepada siaran media cetak dan elektronik supaya tidak menyiarkan apa jua kempen, iklan, drama, filem dan artikel yang boleh menggalakkan umat Islam menyertai sambutan hari valentine tersebut.

PUM juga ingin menasihatkan masyarakat bukan Islam supaya memahami isu ini secara objektif serta menghormati prinsip agama Islam yang wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam.  Dasar hukum ini adalah hanya mengikat dan terhad kepada seluruh umat Islam sahaja.

*Kenyataan media oleh Dr.Mohd Roslan Mohd Nor (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive