(Merdeka Review) - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ingin menggesa seluruh umat Islam supaya mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke-71 pada 22-24 November 2005 yang telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Berpandukan kepada keputusan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut yang boleh diakses melalui laman web e-fatwa Jakim di alamat www.e-fatwa.gov.my, sewajibnya seluruh umat Islam akur serta memahami bahawa sambutan perayaan hari Valentine adalah sesuatu amalan yang boleh merosakkan aqidah umat Islam. Aqidah adalah menjadi perkara teras dalam ajaran agama Islam yang mesti dipelihara oleh setiap umat Islam.

