09 March 2012

ALLAH itu Raja, Rasullulah adalah permaisuri - OKU

OKU kurang faham agama Islam
NORHAFIZA MUSA
9 Mac 2012

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) mengambil langkah drastik bagi mengatasi masalah ‘kurang faham’ berkaitan agama Islam terutama berkaitan akhlak, akidah dan juga ibadah dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) bagi masalah pendengaran.

Pesuruhjaya Jheat, Mohd Rozali Salleh berkata, pihaknya kecewa dan sedih kerana terdapat sebahagian besar golongan itu tidak memahami secara mendalam dan jelas mengenai agama Islam.

Menurutnya, pengetahuan berkaitan ilmu agama terlalu sedikit sehingga ada di antara mereka menganggap dan membuat tafsiran ALLAH itu raja, Rasullulah adalah permaisuri dan orang ramai pula adalah anak.


“Isu ini sangat serius, salah faham yang wujud melibatkan akidah. Telah menjadi tanggungjawab Jheat untuk mengatasi masalah ini daripada terus berpanjangan.

“Jika mereka tidak faham dua kalimah ini, (ALLAH dan juga Nabi), ia akan menjadi kacau. Masalah seumpama ini berlaku mungkin disebabkan kurangnya pendedahan dan pengisian berkaitan agama Islam khas untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir pada Kem Ibadah OKU (Pendengaran) di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis perasmian penutup kem itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Senara Muda Mazlan Hashim.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Jheat, Omar Musa.

Pada program itu, seramai 50 peserta OKU masalah pendengaran dari pelbagai sekolah pendidikan khas dan dari Persatuan Kebajikan Pekak Negeri Terengganu hadir mengikuti kem selama tiga hari bermula pada 5 hingga 7 Mac.

Menurutnya, kem anju­ran­ Jheat mendapat kerjasama Maidam itu bukan saja mampu memberi kesedaran berkaitan pengetahuan dan penghayatan agama Islam oleh OKU malah dapat menyemai perasaan supaya mencintai ALLAH SWT.

Mohd Rozali berkata, Jheat akan memperbanyakkan lagi kursus berkaitan pengisian agama Islam dalam kalangan OKU supaya akidah mereka tidak terus terpesong. - Sinar Harian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive