05 March 2012

Kemelut PAS Kedah : Phahrolrazi minta sokongan TGNA

Phahrolrazi Temui Nik Aziz Minta Sokongan
ALOR SETAR: Walupun kemelut kepimpinan PAS Kedah masih belum berakhir, pemimpinnya yang enggan menerima pelantikan semula sebagai exco, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi akan menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat sokongan beliau.
Phahrolrazi bertindak demikian selepas Jawatankuasa PAS Pusat menolak permintaannya iaitu mahu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bercuti serta-merta.
Phahrolrazi dan seorang lagi pemimpin yang memberontak, Dr Ismail Salleh telah mengemukakan satu syarat bahawa pemangku Menteri Besar perlu dilantik jika PAS mahu mereka menerima semula jawatan sebagai exco negeri itu.
Bagaimanapun, PAS Pusat menolak permintaan tersebut, sebaliknya mengarahkan mereka menerima semula jawatan yang disandang sebelum ini.

Difahamkan Phahrolrazi tidak berpuas hati dengan keputusan PAS Pusat dan kini dalam langkah terakhir untuk mendapat sokongan Nik Aziz terhadapnya.
Beliau turut meminta campur tangan Nik Aziz selepas Dewan Ulama PAS Kedah menasihatkan beliau supaya menerima apa jua keputusan PAS Pusat.
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata, mereka tiada kuasa untuk mengubah keputusan yang diputuskan PAS Pusat.
Dalam perkembangan lain, difahamkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turut menyokong Phahrolrazi.
Sumber berkata, Mohamad tidak disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang dan didakwa kecewa dengan keputusan itu.
Mohamad yang juga berasal dari Pulau Pinang mempunyai peluang tipis untuk bertanding di negeri itu.
PAS hanya mempunyai satu kerusi yang dianggap selamat dan sudah diisi calon sesuai.
Bagaimanapun, beliau pernah bertanding di Kedah sebelum ini dan mempunyai prospek di sana.
Sementara itu, sumber berkata, mereka tidak akan mengambil kira campur tangan daripada PKR dan DAP terhadap kemelut di Kedah.
"Komponen parti Pakatan Rakyat tidak selesa berbincang mengenai agihan kerusi dengan Azizan," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive