05 March 2012

Lagi bas terbalik di Genting, 2 maut 20 cedera

Dua warga India terbunuh manakala 20 lagi penumpang cedera apabila bas pelancong yang mereka naiki terbalik di kawasan bahu jalan di kilometer 4.5 Jalan Genting-Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan menuju ke ibu negara dari Genting Highlands hari ini.


Bas pelancong berkenaan, yang membawa 22 penumpang warga India, pemandu dan kelindan, dikatakan terbabas ketika menuruni kawasan bukit dan memasuki selekoh tajam dalam kejadian kira-kira 8 pagi.

"Akibat selekoh tajam serta menuruni bukit, bas berkenaan hilang kawalan lalu terlanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan menyebabkan dua warga India maut iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, manakala 20 lagi cedera," kata jurucakap Polis Daerah Bentong.


Identiti dua mangsa yang maut itu masih belum dikenal pasti.

Jurucakap itu berkata, semua mangsa, termasuk dua mangsa yang terkorban, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, pemandu bas dan kelindannya kini ditahan polis untuk diambil keterangan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Balai Bentong pula berkata semua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan daripada bas berkenaan kira-kira 9.20 pagi.

Seramai 50 anggota membabitkan lima jentera dari balai bomba Bentong, Selayang, Kuala Kubu Bharu, Genting Highlands dan Wangsa Maju terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa.

- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive