10 March 2012

Rais puji MB Kedah

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertindak betul apabila meletakkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sebagai keutamaan dalam menghadapi krisis kepimpinan dengan dua Exconya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya, dalam menghadapi tekanan sehingga membawa campur tangan Pas Pusat dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran negeri, ketegasan Azizan menangani krisis membuktikan beliau tetap mengutamakan undang-undang tubuh dan pandangan rakyat Kedah meskipun 'disepit' oleh kuasa luar.

"Ketegasan Menteri Besar Kedah ini harus dipuji kerana beliau tidak mahu pihak luar campur tangan dalam urus tadbir negeri," kata Rais selepas merasmikan program Komuniti 1Malaysia Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS) di sini, hari ini.


"Sikapnya menunjukkan beliau Menteri Besar yang memahami undang-undang walaupun di belakang, kiri dan kanannya masih ada belas kasihan terhadap rakyat," ulas Rais mengenai tindakan Azizan semalam yang memberi 'pukulan balas' terhadap kelompok yang berusaha melemahkan kepimpinannya dengan menegaskan beliau hanya berpegang kepada peraturan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah untuk mengurus tadbir kerajaan negeri.

Azizan berkata tiada perkara lebih tinggi dari Perlembagaan Kedah yang memperuntukkan Menteri Besar adalah ketua tertinggi bagi badan eksekutif negeri walaupun beliau bersikap terbuka dan sedia mendengar apa saja pandangan atau nasihat mana-mana pihak termasuk Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan Pas Pusat.

Rais juga berpendapat Azizan telah berjaya melaksanakan tugasnya menyebabkan sikapnya tidak disenangi oleh pemimpin pakatan pembangkang sendiri.

"Menteri Besar ini orangnya baik walaupun tidak dapat tunaikan kehendak rakyat sepenuhnya namun sikapnya disenangi rakyat. Oleh itu rakyat Kedah wajar membuat penilaian waras pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau rakyat berikan peluang kepada Barisan Nasional (BN), kita percaya boleh lakukan lebih baik daripada kerajaan Pas sekarang," katanya.

Kemelut kepimpinan Pas Kedah tercetus apabila exconya Datuk Dr Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula kerana berbeza pendapat yang "kritikal" dengan Azizan dalam pentadbiran kerajan negeri sehingga memaksa campur tangan kepimpinan Pas Pusat.

Kira-kira 6,000 orang menghadiri majlis itu antaranya Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz dan Pengerusi Pertubuhan Gerak Seni Warisan 1Malaysia, Adnan Abdullah Sabil.– Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive