03 April 2012

Bayan Mutiara : Putar belit Ketua Pemuda UMNO P. Pinang

Saya amat hairan mengapa akhbar tradisi seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia sanggup membawa berita yang tidak tepat dari seorang yang kononnya menjadi juara orang Melayu Pulau Pinang.

Lebih buruk daripada itu berita tersebut tidak mendapat keadilan dari pihak yang dituduh untuk membuat penjelasan.

Saya merujuk kepada berita tentang tanah Bayan Mutiara yang disensasikan mengikut selera perkauman dan agama yang sempit walaupun isu yang dibangkitkan lebih kepada soal pentadbiran dan undang-undang.

1. Faktanya ialah pelan pembangunan yang diluluskan oleh MPPP tahun 2006 adalah berdasarkan kepada penyerahan oleh syarikat sebelumnya yang gagal membangunkan tapak tersebut walaupun fasa 1 pelan telah diluluskan.


Semua sudah sedia maklum apabila tanah ini diambilalih oleh pemaju baru yang membelinya secara tender terbuka, satu pelan pembangunan baru mesti diserahkan kepada MPPP kerana pelan yang lama tidak diperakui lagi. Pelan baru belum diserahkan untuk pembangunan lagi.

2. Faktanya juga ialah ketika tanah yang diperuntukkan untuk tapak mesjid telah diluluskan pada ahun 2006, mengapakah kerajaan BN/Umno ketika itu tidak mengambil inisiatif untuk memecah lot itu dan menggazetkannya untuk diserahkan kepada MAIPP sedangkan mereka mempunyai masa 1 tahun lebih untuk berbuat demikian sebelum Pakatan ambil alih.

Tiba-tiba kerajaan hari ini pula disalahkan dalam isu tanah mesjid.

3. Faktanya juga tanah untuk mesjid diwajibkan sebagai syarat untuk lulus jika kawasan itu mempunyai rumah lebih dari 1,300 atau 1,500 unit.

Kaedah yang sama akan terpakai jika penyerahan pelan baru dibuat bagi pemaju yang membeli tanah tersebut hari ini.

4. Faktanya tidak ada pengazetan tanah tersebut di MAIPP untuk tujuan tapak mesjid dan kerana itu tidak timbul soal menjual tapak mesjid seperti yang didakwa.

Berdasarkan kepada fakta di atas khusus tentang soal tanah mesjid, saya menyeru kepada Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang supaya jangan bermain isu ini dengan niat menimbulkan sentimen kebencian seolah-olah kerajaan Pakatan di Pulau Pinang menidakkan hak orang Islam di Pulau Pinang.

Kami dari PAS berdiri teguh mempertahankan hak orang Melayu dan Islam sebagaimana kami terus membela kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam tawaran kami kepada rakyat.

Kami juga berdiri teguh di bawah kepimpinan YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dalam usaha beliau bersama PAS membawa politik yang lebih adil untuk semua rakyat di Pulau Pinang.

Carilah modal politik yang lain seperti menawarkan manifesto yang lebih menarik kepada orang ramai untuk mendapat sokongan tetapi jangan sekali-kali bermain api kebencian kelak nanti akan membakar diri sendiri.

-Dr Mujahid Yusof

Penulis adalah Ahli Parlimen Malaysia kawasan Parit Buntar dan anak jati Pulau Pinang.


- Malaysia chronical

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive