30 May 2012

Syed Zainal Abidin letak jawatan Pengarah Urusan Kumpulan Proton

DATUK Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir akan meletak jawatan selaku Pengarah Urusan Kumpulan PROTON Holdings Bhd, berkuat kuasa 4 Julai depan, selepas menerajui syarikat kereta nasional itu lebih enam tahun.
PROTON Holdings, dalam satu kenyataannya berkata, susulan itu Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, akan mengambil alih peranan kepimpinan Syed Zainal dalam menerajui syarikat menuju ke hadapan.
“Kami juga ingin mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangan PROTON Holdings, Azhar Othman, berkuat kuasa 6 Julai,” tambah syarikat itu.
Pengeluar kereta nasional itu berkata, peletakan jawatan Syed Zainal dibuat atas kemahuannya sendiri.
“PROTON Holdings ingin mengesahkan peletakan jawatan Syed Zainal sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan kami amat berterima kasih atas sumbangan beliau kepada syarikat.

“Beliau sudah membuat keputusan untuk meninggalkan PROTON Holdings atas kemahuan sendiri bagi mengejar cita-citanya dan kami menghormati keputusan beliau,” jelas syarikat itu semalam.
Syed Zainal, sebelum ini dilantik ke jawatan Pengarah Urusan bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang tidak disambung kontraknya sebagai Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan pada 30 September 2005.
Khazanah Holdings Bhd, iaitu pemegang saham terbesar dalam PROTON Holdings pada waktu itu, melantik perunding carian eksekutif untuk bekerjasama dengan Lembaga Pengarah PROTON Holdings bagi mencari pengganti Tengku Mahaleel.
Pencarian itu bermula dengan senarai pertama antara 30 hingga 40 individu dan selepas penilaian awal, 22 orang telah dihubungi, termasuk Syed Zainal.
Selepas Syed Zainal dilantik, Lembaga Pengarah PROTON Holdings menstrukturkan semula organisasi pengurusannya sebagai usaha bagi mengetengahkan fungsi dan struktur pengurusan yang sama dengan syarikat automotif utama lain.
Di bawah struktur baru itu, jawatan utama pengurusan PROTON Holdings yang dulunya dipanggil CEO, diubah kepada Pengarah Urusan, sekali gus menjadikan Syed Zainal sebagai individu pertama yang menjawat jawatan berkenaan.
Sebelum menyertai PROTON Holdings, Syed Zainal, 50, lulusan Sarjana Muda Sains dalam jurusan Kejuruteraan Awam dari Universiti Maryland, Amerika Syarikat, ialah bekas Pengarah Eksekutif Perodua Auto Corporation Bhd.
Beliau yang berasal dari Kelantan pernah bertugas di Petronas Gas Sdn Bhd sebagai Jurutera Projek pada 1987 dan kemudian dilantik sebagai Eksekutif Kanan di Jabatan Perancang Korporat dan Pembangunan Perniagaan Antarabangsa PETRONAS.
Pada 1995, beliau menyertai Hicom Holdings Bhd. sebagai Pengurus Kanan sebelum mendaki tangga pengurusan dan akhirnya dilantik sebagai Ketua Eksekutif pada 1999.
Kemudian, pada tahun yang sama, beliau berhijrah ke Perodua Auto Corporation sebagai Pengurus Besar Kanan dan dilantik menjadi Pengarah Eksekutif pada 2002. - utusan

1 comment:

ridoma said...

Saya amat meminati cara persembahan kereta exora oleh beliau. Saya melakukan 'Tiruvasi' berdasarkan cara beliau dalam setiap persembahan projek saya di universiti. Disamping kehidupan beliau sendiri yang menerapkan 'Ad Deen' sebagai cara hidup, walau apa sekalipun jawatan yang dipegang. Itulah yang menjadikan hasil 'air tangan' beliau sukar ditandingi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive