KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua masjid dan surau mengadakan solat sunat "khusuf" berserta khutbah sempena gerhana bulan separa Isnin ini.
  
Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, fasa pertama gerhana itu dijangka bermula pada 4.49 petang (waktu Malaysia) dan mencapai tahap kemuncak pada 7.03 malam.
  
"Gerhana dijangka berakhir pada 9.17 malam. Justeru, umat Islam disunat menunaikan solat sunat "khusuf" berjemaah disertai dengan khutbah gerhana," katanya dalam kenyataan.

Dipetik Bernama, beliau berkata, Jakim akan menganjurkan solat sunat itu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara selepas solat Maghrib.
  
Menurutnya, Seksyen Falak jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia akan mengadakan aktiviti cerapan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada hari berkenaan.
  
"Orang ramai terutama penduduk Putrajaya dijemput menyaksikan fenomena alam semula jadi serta menunaikan solat sunat itu," katanya