Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjuangan Kerajaan Persekutuan masa kini adalah berteraskan tuntutan Islam di bawah konsep Maqasid Al-Shariah.
    
Beliau berkata antara dasar Maqasid Al-Shariah yang diamalkan kerajaan ialah memelihara dan memperkasakan Islam namun pada masa sama, ia memelihara jiwa dan menghormati hak asasi manusia baik untuk Muslim dan juga bukan Muslim.


Sebagai menghormati hak asasi rakyat Malaysia, katanya kerajaan telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



"Jauh sekali kita meminggirkan Islam ataupun ketepikan Islam tetapi perjuangan kita ialah perjuangan yang dituntut oleh Islam," katanya semasa berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Alam Shah di Klang hari ini.
    
Nik Mohamed Mohyideen adalah pengetua pertama Kolej Islam Malaya/Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah selain pengasas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama.
    
Najib memperjelaskan bahawa dasar transformasi negara menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah berpaksikan kepada Maqasid Al-Shariah. 
    
"Memelihara akaun, memelihara kehormatan dan keturunan dan memelihara harta  dengan memperkasakan ekonomi, ini adalah prinsip Maqasid Shariah.
    
"Kita membangunkan konsep Kolej Islam dan menempatkan guru agama dari segi perjawatannya sama dengan guru-guru lain... ini semua adalah berdasarkan Maqasid Al-Shariah," katanya.
    
Selain itu, katanya Kedai Kain Rakyat 1Malaysia yang dilancarkannya hari ini juga merupakan satu daripada elemen Maqasid Al-Shariah.
    
Najib berkata pendekatan pendidikan oleh Kolej Islam, yang menggabungkan ilmu dunia dan Islam, merupakan hasil gandingan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selaku Menteri Pelajaran dan Allahyarham Nik Mohamed Mohyideen, selaku Pengetua Kolej Islam pada 1967, sebagai pelaksana dasar baru itu.



Najib berkata konsep atau falsafah menyatupadukan ilmu akal (intelek) dan ilmu wahyu (agama) dalam pendidikan telah diperjuangkan oleh Nik Mohamed Mohyideen bagi menghasilkan insan yang mempunyai kekuatan yang jauh lebih baik daripada mereka yang terdidik dengan satu dimensi ilmu sahaja. 
    
"Di situlah letaknya ketepatan Kolej Islam ini dibangunkan di mana ia penting ke arah menjadikan seorang insan itu sebagai cerminan akhlak Islam," katanya. 
    
Perdana Menteri berkata selain ibadat, Islam juga amat mementingkan akhlak mulia sesama manusia.
    
Beliau berkata konsep kesepaduan ilmu akal dan wahyu turut penting dalam pembangunan kepimpinan dan ketamadunan Islam.
    
"Nescaya, kalau kita boleh membangunkan individu berteraskan ataupun berpaksikan kepada kesepaduan ilmu ini, maka yakinlah, kita akan jadi seorang insan yang Tuhan pun akan meninggikan lagi darjat kita," katanya.
    
Najib berkata pada masa yang sama, kesyumulan Islam tidak boleh disempitkan oleh mana-mana pihak kerana jika disempitkan, ia boleh merosakkan masa depan umat Islam. 
    
Beliau berkata umat Islam juga berdepan cabaran apabila Islam tidak dilihat sebagai satu matlamat yang patut diperjuangkan, sebaliknya dijadikan alat untuk mencapai tujuan politik.
    
"Sebab itulah, kecelaruan berlaku di kalangan umat Islam. Daripada hala tuju yang tidak menentu, sekejap nak negara Islam, sekejap negara kebajikan, sekejap timbul hudud sampailah kepada masalah yang kita baca dalam akhbar sehari dua ini, suami dan isteri berpisah kerana politik," katanya.
    
Selain itu, Najib meminta dijadikan iktibar kejatuhan Tamadun Islam di Andalusia Sepanyol berikutan umat Islamnya gagal memelihara perpaduan kerana masalah dalaman, perebutan kuasa, hasad dengki menyebabkan umat Islam tidak berupaya meletakkan ketamadunan Islam di takat yang lebih tinggi.
    
Sementara itu, Najib berkata kerajaan akan memberi anugerah yang setimpal bagi mengenang jasa dan perjuangan Allahyarham Nik Mohamed Mohyideen.



Beliau juga mengumumkan kerajaan akan memberi peruntukan RM10 juta untuk meningkatkan lagi kemudahan di Kolej Islam selain Umno yang akan menyumbangkan RM200,000.

- Bernama