Lokasi dipindahkan ke Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), berhampiran dengan Dataran Merdeka selepas ketibaan pemimpin-pemimpin Gabungan Janji sekitar jam 11.15 malam tadi.
Sebaik tiba, mereka mengeluarkan arahan agar kesemua penyokong berpindah ke Dataran DBKL. Kemudian, jawatankuasa diiringi ke Dataran DBKL oleh Unit Amal.
Suasana yang agak tegang pada awalnya mula terkawal apabila penganjur meminta penyokong-penyokong duduk dan bertenang bagi memberi ruang kepada Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said membacakan puisi 'Janji Demokrasi'.
Menurut Jawatankuasa Gabungan Janji, Marina Chin Abdullah, lokasi dipindahkan berikutan Dataran Merdeka sudah "diharamkan" untuk mereka.
"Kami terpaksa pindah tempat kerana tempat itu (Dataran Merdeka) sudah diharamkan untuk kami," katanya kepada Sinar Harian Online yang ditemui ketika Samad, yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0 sedang mendeklamasikan puisi.
Sementara menanti saat untuk menghitung detik ambang merdeka, penyokong menyanyikan lagu Tanggal 31 dan Janji Dicapati beserta dengan laungan janji demokrasi, bersih dan merdeka yang diulang-ulang.
Suasana semakin gamat apabila sekumpulan penunggang motosikal didakwa cuba mengganggu mereka berimpun di kawasan tersebut.
Namun, keadaan terkawal dan tepat jam 12 malam, pemimpin melaungkan 'Merdeka' dan "Janji Demokrasi' berulang kali.
Sejurus tamat laungan itu, para pemimpin Gabungan Janji bersurai dengan diiringi beberapa penyokong menuju ke Jalan Raja Laut.
Mengulas perhimpunan itu, Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais melahirkan kegembiraannya atas kelancaran sambutan anjuran pihaknya.
"Saya gembira dengan sambutan malam ini. Semua berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita.
Beliau mengelak untuk mengulas tentang segelintir peserta yang membawa sepanduk bantahan ketika himpunan berlangsung.
Menurut Maria Chin, pihaknya sudah meminta peserta terbabit supaya menurunkan sepanduk tersebut.
Katanya lagi, pemilihan pakaian penyokong yang hadir terpulang kepada individu.
"Itu hak mereka. Terpulang. Tak kira apa warna," katanya kepada pemberita.
Samad turut melahirkan rasa puas hati atas kehadiran rakyat Malaysia ke himpunan itu yang sebilangan besarnya adalah golongan muda.
"Saya puas hati dan tidak menyangka jumlah yang hadir seramai ini.
"Malah jumlah yang besar dari anak-anak muda. Orang muda dapat rasai bahawa era ini era mereka," katanya.
Meskipun penyokong himpunan itu sudah diminta bersurai oleh pihak penganjur, namun masih ramai penyokong yang berlegar-legar di sekitar Dataran DBKL dan Dataran Merdeka terutama di sepanjang jalan utama di kawasan tersebut.
Selain jawatankuasa Gabungan Janji, turut kelihatan Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu; Ahli Parlimen Kuantan merangkap Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dan artis, Bob Lokman.- Sinar
No comments:
Post a Comment