25 August 2012

Pinda atau mansuh Seksyen 114A - Suhakam

SHAH ALAM - Suhakam  menggesa kerajaan meminda ataupun memansuhkan Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No 2) 2012, yang kontroversi atas alasan ia melanggar prinsip hak asasi manusia.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, peruntukan yang baru itu, yang diperkenalkan berkuat kuasa 31 Julai lalu juga melanggar prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Katanya, Suhakam ingin mengulangi pendirian bahawa walaupun ia mengakui akan pentingnya keselamatan negara untuk memastikan keamanan dan kestabilan, ia juga berpendapat bahawa Seksyen 114A Akta Keterangan mesti dikaji semula ataupun dimansuhkan demi melindungi dan menghormati kebebasan asas dan hak asasi manusia untuk bersuara dan tanggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Suhakam berharap untuk terlibat dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan yang lain dalam mengkaji semula akta serta dalam penggubalan mana-mana undang-undang baru," kata dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini, susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin.

Kata beliau, walaupun tanggapan fakta di bawah Seksyen 114A boleh dipatahkan, seseorang yang dianggap bersalah mungkin tidak mempunyai masa, sumber, dan khususnya, kepakaran teknikal berhubung dengan persekitaran Internet untuk membuktikan sebaliknya bagi mematah tanggapan tersebut.

"Berbeza pula dalam kes-kes jenayah, pihak pendakwaan boleh lebih bersedia untuk membuktikan kesalahan tertuduh kerana mereka diberi kuasa untuk memaksa mana-mana saksi berpotensi (seperti pentadbir, pembekal khidmat rangkaian dan pembekal Internet) untuk mengemukakan keterangan, dan mempunyai kepakaran teknikal dan sumber untuk membantu siasatan atau pendakwaan," kata beliau.

Oleh itu, jelas Hasmy, walaupun boleh dikatakan bahawa Seksyen 114A tidak mengubah keseluruhan beban bukti, sepertimana dalam kes-kes jenayah, ia terletak pada pendakwaan dan dalam tindakan sivil, terletak pada plaintif, dari segi praktikal, ia mungkin mempunyai kesan dalam mengubah beban tersebut kepada yang tertuduh ataupun defendan, mengikut mana yang berkenaan, sekali gus melanggar prinsip asas undang-undang.

"Sama pentingnya juga Seksyen 114A mungkin mempunyai potensi dan kesan negatif yang menghalang daripada bersuara, menyebar dan berkongsi idea, berita dan maklumat, yang mana menjadi tanda pasti persekitaran Internet, sekali gus menghad dan mempengaruhi kebebasan bersuara – satu ciri penting demokrasi yang berfungsi sepenuhnya.

"Ia harus juga ditekankan  bahawa hak bersuara tidak sepatutnya dihadkan oleh kaedah atau cara tidak langsung, seperti penyalahgunaan kawalan kerajaan atau swasta ke atas akhbar bercetak, frekuensi penyiaran radio, atau peralatan  yang digunakan dalam penyebaran maklumat, atau dengan apa-apa cara lain yang cenderung untuk menghalang komunikasi dan peredaran idea dan pendapat," katana lagi.

Hasmy juga berkata, walaupun diperakui keperluan untuk menangani jenayah siber dan untuk mengesahkan tentangan terhadap ancaman keselamatan negara, namun sebarang kuasa atau langkah-langkah mengehadkan hak mestilah  mengikut norma-norma hak asasi manusia.

Perkara itu katanya, harus tertakluk kepada syarat-syarat ketat tertentu seperti berikut:

- bahawa penghadan hak individu mesti dikenakan semata-mata bagi maksud melindungi matlamat yang sah (iaitu keselamatan negara, hak atau reputasi orang lain, kesihatan awam atau moral) yang ditetapkan oleh prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa
- bahawa penghadan hak mestilah benar-benar perlu bagi melindungi matlamat yang sah
- bahawa  pengehadan hak mestilah berkadar dengan perlindungan matlamat yang sah
- bahawa mesti ada perlindungan yang mencukupi supaya dapat mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa Hasmy berkata, syarat-syarat itu adalah penting bagi membantu untuk mencari keseimbangan secara adil antara kepentingan awam
- kebimbangan terhadap keselamatan negara, dan kebebasan asas seseorang individu. - sinar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive