22 August 2012

Santai Mlm - Taiping ... 'Judi Hujan' pun ada

Kecuali Jalil dan seorang dua lagi rakan yang ‘satu kepala’, Taiping dahulu agak asing bagi saya.Tetapi sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, apabila cuti sehari dua, bandar itulah yang kerap menjadi sasaran.

Masa kanak-kanak, tempat paling hampir dengan Taiping yang pernah saya sampai ialah Bukit Merah. Dalam tahun 60-an, air sebatang sungai cetek yang mengalir lima meter di depan rumah emak saudara di Kampung Ban Pisang sangat menakjubkan; sejuk lagi jernih.

Terkesima melihat anak-anak ikan berkejar-kejaran di keliling betis dan buku lali. Di zaman itu, anda boleh mencempung dengan mudah, jika mahu. Hari ini, jangankan ikan dan air jernih, sungai yang sempit itu pun sudah terkambus akibat hakisan dan sampah sarap.

Masih jelas dalam kenangan mengenai peristiwa bagaimana dimarahi arwah datuk kerana tidak menolong beliau setelah jatuh dari basikal. Macam mana hendak tolong sedangkan saya kayuh basikal sendiri dan laju di depan atas batas tepi landasan kereta api, menuju pekan kecil Bukit Merah.

Tidak pasti apakah beliau perasan betapa bagai nak pecah perut saya menahan ketawa, melihat beliau bergelumang dalam selut bendang. Hari ini kawasan itu sudah membangun. Kalau anda melalui Lebuhraya Utara-Selatan, anda akan melihat beratus-ratus hektar bendang di kiri kanan anda di sekitar Bukit Merah sudah bertukar menjadi kolam pemeliharaan ikan hiasan.

Mengikut cerita rakan-rakan, sehingga kira-kira 15 tahun lalu, ikan hiasan seperti kelisa hanya dijual dengan harga lebih kurang RM5 sekilo dan ia senasib dengan ikan-ikan biasa yang lain, berakhir dalam belanga dan pinggan nasi.

Hari ini jika tiada RM10,000 atau lebih jangan berangan hendak cuba sentuh ikan hiasan yang tunggu masa untuk matang bagi mengeluarkan telur yang juga tinggi harganya. Siapa bersedia makan ikan semahal itu? Taiping, yang sebelum 1937 merupakan ibu negeri Perak, dan yang tidak sampai 20 minit dengan kereta ke selatan Bukit Merah, turut membangun dengan pesat.

Cuma saya lebih gemar menyaksikan bangunan dan alam semula jadi yang tidak menjemukan mata memandang; sawahnya yang menghijau masih luas terbentang (entah sampai bila) dan sungguh mempesonakan, di samping menikmati mi rebus, char koey teow, pasembor, cendol dan lain-lain. Ada yang mendakwa popia di Taiping paling sedap di sebelah utara. Saya bukan pakar.

Sehari di Taiping, banyak urusan peribadi sempat dibereskan; buat kunci pendua, beli alu lesung batu untuk hadiah perkahwinan anak rakan di ibu kota, tukar minyak hitam dan tayar kereta. Dua tiga kali, saya tinggalkan pada Jalil kereta yang bodinya sudah berkerak untuk dicat, sebab di kedai kawan, kualiti kerjanya baik daripada tempat lain dan yang penting, upahnya tidak kerat leher.

Yang paling ketara, cuaca di Taiping selalu sejuk. Mengikut cerita, tidak ada sehari pun tanah Taiping tidak disirami hujan; kalau tidak lebat, renyainya tetap ada. Mungkin kerana itulah ia menjadi bandar kegemaran pesara dan pelancong.

Tetapi yang lebih menarik, hujan yang konsisten itu juga menjadi ‘fenomena’ untuk apa yang dinamakan ‘judi hujan’. Lain kali anda ke Taiping, pergilah ke kawasan pasar di pusat bandar. Anda akan lihat beberapa orang mendongak ke awan, biasanya di sebelah petang, masing-masing meneka waktu titisan pertama hujan dari satu sudut bumbung pasar itu.

Siapa yang tekaan waktunya paling hampir akan menang pertaruhan; dan pertaruhannya bukan sekadar wang, bahkan kenderaan, rumah dan sebagainya. Payah untuk dipercayai bukan? Tetapi begitulah ceritanya.

Sejak beberapa minggu lalu, Taiping, yang bermakna ‘aman’ atau ‘tenteram’ dalam bahasa Hakka, kembali mencuri perhatian melalui akhbar dengan cerita mengenai rancangan pembangunan di kawasan Taman Tasik Taiping.

Menurut laporan, sebahagian penduduknya membantah projek pelaksanaan Koridor Utara untuk membina replika gerabak kereta api, gerai cenderahati dan makanan dekat pokok-pokok hujan yang ditanam sejak taman itu dibangunkan pada 1884 dan dibuka kepada awam sembilan tahun kemudian.

Tidak payah untuk faham mengapa terdapat bantahan bagi membangunkan sebahagian kawasan itu. Taman Tasik Taiping merupakan sebuah kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah yang tertua di Malaysia. Ia dibuka pada 1880 dan mempunyai banyak tarikan.

Di kawasan seluas 62 hektar itu juga terdapat Zoo Taiping, Bukit Larut dan kawasan perkhemahan yang menarik pelancong dari dalam dan luar negara, terutama di hujung minggu dan musim percutian. Buat masa ini, rancangan terbaru untuk melaksanakan projek di Taman Tasik Taiping itu dibatalkan dan dua tapak alternatif berdekatan kawasan itu dicadangkan.

Apa akan berlaku seterusnya, wallahualam!

CATATAN :  sekadar untuk pengetahuan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive