09 August 2012

'Sultan' dicari bantu kes bunuh

SHAH ALAM 9/8/12: Polis memburu seorang lelaki warga Myanmar bernama Sultan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Ampang, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, lelaki terbabit berusia lewat 20-an yang juga rakan sekerja mangsa di bengkel kereta di Ampang menghilangkan diri sejurus kejadian.

Mohd Adnan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lehernya dikelar di bengkel berkenaan pada jam 6.10 petang.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui sebilah pisau dan sebatang kayu dipercayai diguna suspek untuk membunuh mangsa.

“Beberapa jam kemudian, polis menahan enam lelaki berusia 23 hingga 37 tahun yang juga rakan sekerja mangsa di sekitar kawasan kejadian.

“Semua mereka kini direman hingga 13 Ogos ini untuk polis mengumpul maklumat yang berkaitan dengan kejadian berkenaan,” katanya sewaktu ditemui semalam. Polis juga masih belum mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Arshad di nombor 017-5902878 atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk menyalurkan maklumat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive