ZAATARI, Jordan - Pelakon terkenal Hollywood, yang juga Duta Kebajikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie berharap statusnya sebagai selebriti dapat membantu rakyat Syria dengan dunia "membuka mata" menyelesaikan krisis pelarian.
Menurutnya, dia sendiri telah menyaksikan serta menyelami situasi yang dilalui kanak-kanak di Syria, di mana kebanyakan daripada mereka kini hidup sebagai yatim piatu dan sebatang kara.
“Seorang budak perempuan sembilan tahun bercerita kepada saya bahawa menjadi pemandangan biasa untuk melihat anggota badan berselerak dan mayat orang mati dibakar, diratah macam ayam oleh binatang di sini,” kata Jolie semasa membuat lawatan ke kem pelarian di Jordan berdekatan dengan sempadan Syria.
Menurut agensi pelarian PBB, setiap hari dianggarkan lebih kurang 2,000 penduduk Syria mati akibat pergolakan politik melanda negara itu sejak 18 bulan yang lalu.
Selain itu, hingga kini, sebanyak 253,000 pelarian Syria dilaporkan mendapat perlindungan dengan hidup dalam kem pelarian dan rumah sementara di negara berdekatan seperti Jordan, Turki, Lebanon dan Iraq.
Menempuh kehidupan di kem pelarian Zaatari, Jordan bukanlah semudah yang disangka, di mana kebanyakan mereka hilang segala harta benda selepas meninggalkan rumah di Syria.
Salah seorang pelarian menceritakan pengalamannya kepada CNN.
Katanya, dia sekeluarga merentasi sempadan dengan bayi yang hanya baru dilahirkan empat hari sebelum itu, dengan semua pakaian dikendong di belakang.
Mereka juga merungut mengenai ketiadaan bekalan minuman dan makanan yang dapat menampung kehidupan pelarian.
Jolie ditemani tentera Jordan membuat lawatan sehari ke sempadan, menyaksikan sendiri pelarian dari Syria bergerak ke Jordan dalam usaha mencari perlindungan.
Aktres yang mempunyai enam orang anak bersama pasangannya, Brad Pitt menyatakan dia berasa sangat tersentuh dengan situasi itu dan tidak dapat membayangkan perkara itu terjadi kepada ibu-ibu dan anak-anak mereka terutamanya.
“Dengan jumlah kanak-kanak yang tidak bersalah menjadi mangsa, seperti ada yang meninggal dunia, cedera parah dan hidup sebatang kara, dengan ibu bapa mereka pula dibunuh, kita harus berbuat sesuatu agar perkara ini akan dapat dibanteras,” kata Jolie.
Jolie sebelum ini telah banyak mengembara ke negara-negara bergolak untuk melihat sendiri kedaifan hidup mereka dan sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan sejagat sejajar dengan tugasnya sebagai Duta Kebajikan PBB.
Sementara itu, menurut Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh, negaranya sedang membina lebih banyak khemah pelarian untuk menampung pelarian Syria yang kini sudah terlebih muatan di sesetengah khemah pelarian.
Jolie pula menggesa negara-negara lain untuk turut sama membantu pelarian di sini.
“Saya sangat terharu dengan usaha Jordan dan negara sempadannya yang lain dalam usaha menyelamatkan nyawa pelarian Syria. Ini adalah satu perkara murni dan sangat luar biasa.
“Oleh itu, saya menggesa semua pihak menyokong projek ini dan berharap kehidupan penduduk di Syria akan kembali normal seperti dulu semula,” kata Jolie.
1 comment:
salam,
angin perubahan ada di mana2
KLIK objektif PPSMI untuk kuasai sains matematik bukan komunikasi BI
Post a Comment