KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik samannya terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana berniat jahat dengan membuat laporan polis bahawa beliau meliwat Mohd Saiful.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membatalkan saman itu di dalam kamar semasa kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.
Peguam Ranjit Singh mewakili Anwar manakala peguam Zamri Idrus bagi pihak Mohd Saiful.
Ranjit memberitahu pemberita, Anwar menarik balik saman itu atas asas bahawa  reputasi beliau telah dijustifikasikan dengan pembebasannya daripada pertuduhan meliwat itu.
Beliau berkata Anwar menarik balik saman itu dan tidak berhasrat memfailkan saman baharu dan hakim juga menetapkan 9 Okt untuk mendengar isu berkaitan kos perundangan.
Pada 9 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 65, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketua Pembangkang itu memfailkan saman terhadap Mohd Saiful pada 30 Jun, 2008, mendakwa bekas pembantunya itu membuat laporan polis dengan niat jahat dan untuk mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli politik.
Dalam kenyataan tuntutannya, Anwar berkata Mohd Saiful tahu bahawa pertuduhan liwat itu adalah tidak benar tetapi tetap membuat laporan polis pada 28 Jun, 2008.
Beliau mendakwa akibat daripada laporan polis itu, reputasi beliau telah tercemar dan beliau mengalami penderitaan teruk dan telah diaibkan.
Mohd Saiful, dalam kenyataan pembelaannya yang difailkan pada Mei 2009, berkata laporan polis itu adalah wajar dan sekiranya ia tidak benar, pihak pendakwaan tidak akan mendakwa Anwar dengan pertuduhan meliwat.- Bernama