(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 3 Oktober: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka mendesak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendedahkan penaja majlis perkahwinan mewah anak lelakinya, hujung minggu lalu.
Ketuanya, Law Bing Haw mempersoal dari mana sumber dana tersebut diperoleh dan jumlah keseluruhan kos majlis yang diadakan di Dewan Tun Ali Bukit Katil, Ayer Keroh itu.
“Jika pejabat Ketua Menteri Melaka berani keluarkan kenyataan memberitahu majlis yang dihadiri lebih 130,000 orang itu ditaja sepenuhnya, bermakna mereka perlu dedahkan siapa individu ‘baik hati’ itu supaya tidak timbul spekulasi.
“Kami mahu tahu apa hubungan penaja berkenaan dengan Ali. Mungkin dia dapat manfaat daripada pertolongannya,” katanya ketika dihubungi.
Pegawai Khas Mohd Ali, Datuk M S Mahadevan menyatakan penyediaan makanan dan perkhidmatan lain dalam majlis perkahwinan itu diperolehi secara percuma.
Majlis perkahwinan Mohd Ridhwan, 26, dan Nur Azieha Mohd Ali juga 26, heboh selepas dilapor memecahkan rekod Malaysian Book of Records dengan kehadiran lebih 130,000 tetamu dalam masa lapan jam.
“Kita akan adakan bantahan untuk majlis ini dan beberapa bukti penyelewengan kerajaan negeri untuk dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Jadi harap mereka bersedia, jangan nak lari. Rakyat mahu tahu apa yang berlaku,” tegasnya.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menerusi twitternya turut mempersoal sumber dana dan jumlah keseluruhan kos majlis tersebut.
“Itu duit siapa?” tulisnya.
Malah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut senada mencetuskan persoalan dan spekulasi dengan membuat tekaan jika kos setiap seorang adalah RM100 maka kos untuk makan sahaja adalah RM13 juta.
“Mustahil, sekurang-kurangnya RM100 setiap seorang — bersamaan RM13 juta untuk 130,000 orang hanya untuk makanan sahaja,” tulis Kit Siang dalam twitternya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37287
No comments:
Post a Comment