26 October 2012

Ulama PAS bukan 'Ayatollah Iran' - Harun Taib


SHAH ALAM - Dilihat menyangkal pandangan Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ulama Pas menegaskan, pihaknya berpegang teguh mempertahankan prinsip Islam dan oleh itu, tidak wajar disamakan dengan kepimpinan Ayatollah Iran.
"Sejarah Islam membuktikan betapa telusnya corak pemerintahan Islam itu sendiri apabila dikurniakan oleh ALLAH SWT akan tampuk pemerintahan," kata Ketua Ulama Pas, Datuk Harun Taib.
Tambah beliau: "Rasulullah SAW sendiri tidak memulakan peperangan Badar kecuali setelah mengadakan perbincangan dengan kaum Ansar, inilah pendekatan Pas yang menjadi pegangan kita selama ini."
Dipetik Harakahdaily, Harun berkata, sudah menjadi tradisi pemerintahan Islam bersikap telus ketika memerintah.
Jelasnya, Saidina Abu Bakar ketika mula dilantik sebagai khalifah telah mengisytiharkan bahawa beliau sanggup diperbetulkan sekiranya melakukan kesalahan.
Begitu juga Saidina Umar yang mengisytiharkan perkara yang sama sehingga rakyat menyambutnya dengan keazaman untuk memperbetulkan beliau walaupun dengan mata pedang, kata beliau.
Ulas beliau lagi, pernah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar dalam peristiwa memerangi golongan yang murtad.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan pada peringkat permulaan tetapi kerana keterbukaan yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar dalam perbincangan antara hujah-hujah yang berbeza, maka para sahabat akur.
“Inilah keterbukaan yang ditunjukkan oleh sejarah berkenaan pemerintahan Islam. Dan keterbukaan penghujahan inilah yang akan terus diperjuangkan oleh para Ulama Pas.
“Begitu juga pada zaman Saidina Umar ketika seorang wanita menegur beliau berkenaan dengan mahar, beliau tidak melenting bahkan mengakui tentang kesilapan beliau dan mengiktiraf pendirian wanita tersebut,” jelas beliau.
Laporan organ Pas itu tidak merujuk khusus kepada Asri.
Ketika muncul pada program Wacana Sinar Harian ke-15 Selasa lalu, Asri berkata, Pas tidak seharusnya menjadi seperti pemerintahan Ayatollah di Iran sekiranya berjaya memerintah Putrajaya kelak.
Asri, bekas Mufti Perlis berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang.

“Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini Pas belum menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh.

“Kalau kita tidak hati-hati terutamanya parti politik termasuk Pas... kalau mereka naik (menjadi pemerintah) dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, ditambah dengan isu pemimpin dan tokoh agama itu ada kuasa pula, kita akan menghadapi negara yang lebih  korup daripada apa yang berlaku sekarang,” katanya ketika menjawab soalan dari moderator Dr Mazlee Malik berhubung sejauh  mana beliau melihat pemimpin ulama Pas yang tidak boleh ditegur.
Menjawab pandangan Asri itu, dua Naib Presiden Pas kelmarin menjawab bahawa pihaknya memberi jaminan tidak akan sama sekali akan menjadi pemimpin-pemimpin bergelaran Ayatollah Iran jika diberi mandat memerintah Kerajaan Pusat kelak kerana parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Sambil menghargai pandangan bekas Mufti Perlis, pemimpin-pemimpin Pas yang dihubungi Sinar Harian Online berkata parti berusia lebih enam dekad itu tidak pernah mengamalkan pendekatan tutup pintu kepada pandangan dan teguran mana-mana pihak.
Ayatollah adalah gelaran tertinggi diberikan kepada ulama Syiah Iran.
Mengulas teguran Asri itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya diberi mandat memerintah Putrajaya kelak, mereka tidak akan sekali-kali menjadi seperti pimpinan Ayatollah.
Katanya, sedia ditegur dan dikritik akan terus menjadi asas perjuangan parti itu.
Mengulas lanjut, Harun yang juga Adun Manir menyangkal sama sekali kebimbangan yang tidak berasas bahawa Pas akan mengikut pendekatan Ayatollah.
Beliau menyifatkan kebimbangan itu seperti Nujum Pak Belalang yang meramalkan sesuatu tanpa bukti.
"Kalau perkara yang ditegur atau dikritik itu betul, Pas tidak teragak-agak untuk menerimanya dengan jiwa yang terbuka dan Pas telah membuktikannya, sejarah telah membuktikan bahawa Pas telah sanggup bermuzakarah dengan Umno dan sejarah telah membuktikannya," katanya lagi.
Beliau berkata, bermuzakarah dan perbincangan merupakan tradisi yang telah diamalkan oleh Pas sejak dari penubuhannya lagi bukan sahaja dari sudut dalaman parti apatah lagi dengan pihak luar yang tidak sealiran dengannya.- SinarHarian

1 comment:

bunbinban said...

hahaha...relek la woiii...bru kena jentik sket dah ngelabah. Kenyataannya mmg betul, mmg ada segelintir pemimpin PAS dan beberapa ahli PAS yg begitu 'beriman' kepada konsep 'walaq'. Dan harap 'jentikan' dr bekas mufti dan moderator itu memberi ruang kepada PAS membetulkan apa yg patut. Harap terima dgn hati yg terbuka. Peace

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive