27 December 2012

Konvoi Oren desak polis tahan Ketua Pemuda Umno Jempol


Mohd Nizam secara terbuka mengaku mereka (Pemuda Umno Jempol) sejak awal lagi merancang mengadakan sekatan jalan pada lebih 30 tanah rancangan Felda sebaik sahaja mengetahui kehadiran Konvoi Oren.
JEMPOL: Timbalan Pengarah Konvoi Oren ‘Selamatkan Felda’ Negeri Sembilan, Karip Mohd Salleh hari ini mendesak polis Jempol menahan segera Ketua Pemuda Umno Jempol, Mohd Nizam Aman kerana didakwa menjadi punca kekecohan Konvoi Oren di Felda Bukit Rokan Utara pada hari Ahad lalu.
Kekecohan itu  mengakibatkan dua peserta cedera dan cermin sebuah kenderaan pacuan empat roda dipecahkan oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai penyokong Umno-Barisan Nasional.
“Dalam laporan Sinar Harian edisi Negeri Sembilan semalam, Mohd Nizam secara terbuka mengaku mereka (Pemuda Umno Jempol)  sejak awal lagi merancang mengadakan sekatan jalan di lebih 30 tanah rancangan Felda sebaik sahaja mengetahui kehadiran Konvoi Oren.
“Seperti mana dakwaan saya semalam maka ‘sudah terang lagi bersuluh’; Umno khususnya Mohd Nizam dan Umno Jempol lah yang merupakan punca keganasan berlaku ketika Konvoi Oren di Felda Bukit Rokan Utara.
“Maka saya mendesak pihak polis menahan segera Mohd Nizam dan orang suruhannya yang terlibat dalam mengadakan sekatan jalan ketika Konvoi Oren berlangsung.
“Dia (Mohd Nizam) sendiri dah mengaku, maka pihak polis harus mengambil tindakan segera dan tegas. Jika tindakan tegas tidak diambil, dikhuatiri selepas ini sesiapa sahaja termasuk parti politik atau organisasi lain akan turut mengambil tindakan sendiri dengan mengadakan sekatan jalan.
“Tindakan ini seperti mencabar kuasa pihak polis. Maka polis harus bertindak tegas agar ia menjadi amaran kepada mana-mana pihak yang mengambil kuasa ditangan sendiri  ,” kata Karip.
Mohd Nizam cakap belit-belit
Ketika ditanya FMT berhubung dakwaan Mohd Nizam di dalam akhbar yang sama bahawa insiden kekecohan yang berlaku di Felda Bukit Rokan Utara pada hari Ahad lalu sebenarnya berpunca daripada tindakan provokasi peserta Konvoi Oren; Karip berkata:
“Kenyataan Mohd Nizam memang berbelit-belit. Mereka buat sekatan jalan bukan di jalan persendirian atau jalan di dalam tanah rancangan Felda tetapi di jalan awam.
“Sekatan jalan itu sendiri satu provokasi kerana menghalang pengguna jalanraya termasuk peserta Konvoi Oren ke Felda Jelai, Gemencheh atau Pasir Besar,” katanya.
Manakala, Naib Ketua PKR Jempol, T Kumar yang juga merupakan seorang peguam mengesahkan kepada FMT bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 339 Kanun Keseksaan  jika seseorang menghalang atau menyekat pergerakan individu lain.
Yang beria-ia membantah Umno bukan peneroka Felda
Karip yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Jempol,  dalam nada sinis mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nizam dengan pengakuan tersebut secara langsung terbukti bahawa pihak yang beria-ia membantah kehadiran Konvoi Oren ialah Umno dan bukan peneroka Felda terbabit.
“Kenyataan terbuka Mohd Nizam ini dengan jelas membuktikan Umno yang beria-ia membantah Konvoi Oren dan bukannya peneroka Felda.
“Patutlah di setiap lokasi sekatan jalan ramai sangat pemuda dan remaja berbanding mereka yang berumur (peneroka).
“Saya harus berterima kasih kepada Mohd Nizam kerana kenyataan beliau menghantar mesej kepada umum bahawa sebenarnya Umno yang membuat sekatan jalan dan tidak benarkan kami masuk ke tanah rancangan Felda, bukannya peneroka Felda.
“Kenyataan saya semalam dalam FMT selari dengan kenyataan Mohd Nizam di dalam Sinar Harian.
“Saya harap mereka yang berada di luar Felda dan peneroka Felda yang tidak tahu cerita sebenar, kini tahu siapa sebenarnya yang menimbulkan huru hara di Felda Bukit Rokan Utara Ahad lepas,” jelas Karip.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive