Himpunan Oren: Kawasan Masjid Wilayah, Kompleks Wilayah jadi tumpuan
Sebahagian peserta Himpunan Oren Selamatkan Felda bersama sepanduk di kawasan berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan.
Himpunan Oren: Kawasan Masjid Wilayah, Kompleks Wilayah jadi tumpuan
Gerai-gerai yang dibuka sempena Himpunan Oren Selamatkan Felda di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan.
KUALA LUMPUR - Kawasan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kompleks Mahkamah Jalan Duta kini menjadi tumpuan dengan pihak polis mempertingkatkan kawalan menjelang Himpunan Oren Selamatkan Felda petang ini.

Pukul 12 tengah hari, dua bas dinaiki peserta Himpunan Oren Selamatkan Felda tiba di pekarangan masjid.
Sementara itu, orang bukan Islam telah berkumpul di Kompleks Mahkamah.
Pukul 1.15 tengah hari, kelihatan beberapa khemah telah didirikan untuk menjual baju berwarna oren dan hijau.
Menurut polis, pihaknya akan menutup beberapa jalan di sekitar Jalan Duta menuju ke masjid dan kompleks mahkamah bagi memberi laluan kepada Himpunan Oren Selamatkan Felda.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ibadah,  Jalan Duta Mas Satu dan Sri Hartamas akan ditutup secara berperingkat sepanjang perhimpunan tersebut diadakan.
Menurutnya, pihaknya akan membuat lencongan jalan untuk pengguna jalan raya lain.
"Peserta perhimpunan akan berkumpul di tempat letak kereta Mahkamah Jalan Duta sebelum berarak ke pintu tiga Istana Negara.
"Kita menganggarkan 3,000 peserta akan menyertai perhimpunan ini," katanya pada taklimat media di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, di sini sebentar tadi.