25 December 2012

Najib! Bersuara la ....

Oleh Shahbudin Husin
Sejak Deepak Jaikishan, seorang peniaga karpet yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri, mendedahkan penglibatan Najib dalam akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Bala, pelbagai rentetan mengenainya sudah terdedah ke pengetahuan umum.  
Daripada bagaimana Rosmah memintanya mencari P Bala, penglibatan adik Najib, Nazim Razak membayar wang kepada penyiasat persendirian itu, kaitan seorang peguam bergelar Tan Sri merangka akaun bersumpah dan sebagainya, semuanya memperlihatkan kedudukan Najib mula terjejas di mata umum.

Deepak sendiri sejak muncul beberapa minggu lalu, memberi bayangan bahawa beliau tidak akan berhenti setakat ini saja. Beliau pasti akan muncul dengan banyak pendedahan lagi.



Isu yang dibangkitkan Deepak adalah isu yang berlarutan sejak sekian lama. Walaupun rakan karib Najib, Razak Baginda telah dibebaskan dalam kes pembunuhan Altantuya tetapi kesan daripada peristiwa itu terus menyelubungi rakyat kerana begitu banyak misteri yang tidak terungkai disebaliknya.

Selagi rakyat bercakap mengenainya, selagi itulah Najib bagai dikejar bayangan hantu Altantuya itu. Ini berikutan misteri yang pada mulanya tidak terjawab itu seperti mula menunjukkan kebenarannya. Munculnya pendedahan Deepak merupakan salah satu buktinya.

Dengan pendedahan terbaru Deepak mengenai penglibatan Najib meminta P Bala membuat akaun bersumpah kedua dan menafikan akaun bersumpah pertama kerana bimbang kehilangan peluang untuk menjadi Perdana Menteri dan sejumlah wang dibayar kepada penyiasat persendirian itu, membayangkan seperti ada sesuatu yang disembunyikan disebalik pembunuhan Altantuya.

Berikutan pendedahan Deepak dan nama seorang peguam terkenal bergelar Tan Sri turut dikaitkan, tekanan kini cuba dipertingkatkan untuk memaksa beberapa pihak seperti SPRM dan Peguam Negara, agar mengkaji semua kes tersebut.

Pihak pembangkang terus menekan Najib agar berani bersuara atau setidak-tidaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak, jika dakwaannya itu sebagai liar dan tidak benar. Mahfuz Omar secara terbuka telah pun mencabar Najib mengambil tindakan saman itu.

Angkatan Muda Keadilan pula telah mencetak 50 ribu poskad #Tanya Rosmah untuk diedarkan kepada rakyat dan kemudian akan dihantar ke peti surat kediaman Perdana Menteri, bagi tujuan sama iaitu meningkatkan tekanan agar Najib dan Rosmah berani bersuara terhadap pendedahan yang dibangkitkan oleh Deepak itu.


Ceramah dan program-program pembangkang pula sejak kebelakangan ini tidak pernah sunyi daripada memperkatakan isu Najib, Scorpene, Razak Baginda, P Bala dan Altantuya.

Media alternatif pula digunakan sepenuhnya untuk membangkitkan isu tersebut. Hakikatnya, sejak Deepak bersuara, isu Najib dan Altantuya ini sudah disebarluaskan hingga menerobos seluruh pelusuk kampung dan desa pedalaman serta diperbualkan di kedai-kedai kopi di merata tempat.

Cara bagaimana isu ini dimainkan membayangkan bahawa selagi Najib berdiam diri dan tidak bersuara, selagi itulah ia akan dibangkitkan serta dijadikan isu. Dan selagi Najib tidak bersuara juga, selagi itulah rakyat menganggap ada sesuatu yang tidak kena dan cuba disembunyikan dalam hal ini.

Penduduk bandar, kalangan profesional dan masyarakat pertengahan ke atas sudah agak lama sangsi terhadap Najib dalam isu ini. Rentetan isu yang mereka ketahui melalui pelbagai sumber, termasuk internet, seperti meyakinkan mereka bahawa ada sesuatu yang tidak kena di sebalik pembunuhan model dan penterjemah dari Mongolia itu.

Generasi muda dan mereka yang lebih terdedah kepada maklumat tanpa sempadan juga dilihat mempunyai pendirian yang sama.

Deepak kini nampaknya benar-benar menjadikan kedudukan Najib tampak sukar kerana melalui pendedahannya, semakin ramai rakyat mulai faham dengan isu itu. Hari ini isu yang dibangkitkan Deepak sudah menjadi topik perbualan di mana-mana - pejabat kerajaan, syarikat swasta, pelajar universiti, suri rumah, lobi hotel, kedai kopi, laman-laman sosial dan di mana saja tempat orang boleh berkomunikasi.

Dan selagi Najib berdiam diri, memilih menjadi pemimpin yang "pekak" dan "bisu" terhadap suara-suara yang menjadi percakapan berkaitan isu yang dibangkitkan Deepak ini, selagi itulah rating serta sokongan rakyat kepadanya akan terus merudum.

Bagi rakyat terbanyak, falsafah mereka cukup mudah - berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau benar, bersuaralah. Jika terus diam dan tidak berani menafikannya, maknanya salahlah. Ini prinsip moral mudah yang diajar sejak kecil lagi.

Ini bermakna selagi Najib tidak berani bersuara menafikan segala dakwaan Deepak atau menjelaskan kedudukan sebenarnya, selagi itulah beliau akan terus berada dalam kedudukan yang sukar dari segi sokongan rakyat.

Buatlah seribu satu macam transformasi, berilah berapa banyak gula-gula politik sekalipun tetapi jika ada asas moral yang diragui rakyat, maka selama itulah ia akan menjadi beban kepada Najib sendiri.

Dalam isu yang dibangkitkan Deepak, Najib tidak ada pilihan selain bersuara. Beliau boleh memilih untuk menafikannya berserta hujah dan bukti atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak jika dakwaan itu tidak benar.

Percayalah, lagi lama berdiam diri, lagi melebar kepercayaan rakyat bahawa beliau berada di pihak yang salah manakala keberanian Deepak dilihat sebagai bukti beliau berada di pihak yang benar.

Najib, bersuaralah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive