25 December 2012

Datuk Fauzi Shaari menyesal sertai PAS?


Fauzi Shaari tidak pernah menyesal sertai PAS

December 25, 2012
KUALA LUMPUR, 25 Dis — Bekas pemimpin tertinggi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Datuk Fauzi Shaari menafikan pernah mengeluarkan kenyataan beliau menyesal menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) PAS. 
“Kenapa saya perlu menyesal bersama PAS. Saya sudah buat pilihan yang tepat. 
“Kenapa masih ada yang pertikai dan ragu-ragu dengan tindakan saya ini. 
“Saya rasa tindakan saya menyertai PAS membuatkan ada beberapa pihak tidak senang hati. Sebab itu mereka sengaja mencipta isu ini,” kata bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu dipetik dari Sinar Harian Online.
 
Sebelum ini tersebar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), mendakwa Fauzi menyatakan penyesalannya menyertai PAS. 
Mesej itu berbunyi: “Kalau saya tahu begini keadaan PAS taubat saya tidak akan menyertainya. 
“Masuk PAS umpama masuk parti DAP. Belum apa-apa saya disuruh bersumpah baiah cerai isteri talak tiga jika saya tinggalkan PAS.” 
Fauzi menafikan SMS tersebar itu yang menurutnya dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak gembira dengan tindakannya menyertai parti pembangkang. 
“Saya amat gembira dan bersyukur atas apa yang saya hadapi dan nikmati sejak bersama PAS,” katanya. 
Selepas pilihan raya 2008, PAS dilihat giat membawa masuk bekas pegawai tertinggi kerajaan menyertai mereka. 
Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah, Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof menyertai parti Islam itu. 
Ahmad Zabidi Shamsuddin, bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia juga berbuat perkara sama. 
Terbaru semasa Muktamar PAS ke 58 di Kota Bharu baru-baru ini, bekas pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim mengisytiharkan secara terbuka menyertai parti tersebut. 
“Saya dah lama nak menyertai PAS... dan hari ini secara rasmi saya menyertainya,” katanya yang pernah juga menjawat jawatan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive