18 January 2013

Cerita macamana Mat Pakistan ni dapat MyKad .. "Komander Janggut" [bekas pejuang MNLF] dapat MyPR di Sabah

KOTA KINABALU: Bekas pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang datang ke Sabah hampir 40 tahun lalu memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di negeri itu, beliau memperoleh dokumen pengenalan diri dengan membuat permohonan kepada pihak berkuasa. 

Abdul Halil Aranial, yang masuk ke Sabah pada 1975 berkata, beliau sudah menggunakan pas pengenalan diri sementara yang diberikan kepada pelarian Filipina IMM-13 selama 19 tahun sebelum membuat permohonan kad pengenalan (IC). 

Abdul Halil, 59, berkata, pada 2009 beliau membuat permohonan untuk taraf penduduk tetap di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah, di Kota Kinabalu dan pada tahun sama MyPR berwarna merah dikeluarkan kepadanya. 



Saksi ke-26 itu yang datang menaiki bot laju bersama enam lagi pejuang dan pegawai MNLF itu berkata, beliau menggunakan MyPR itu sehingga sekarang dan beliau juga ada memohon untuk mendapatkan MyKad. 

"Saya pohon dapatkan MyKad kerana saya hendak jadi rakyat Malaysia," kata Abdul Halil yang mempunyai tiga isteri dan 13 anak itu, sambil menambah isteri-isteri dan anak-anaknya juga memegang MyPR. 

Ketika ditanya pegawai pengendali Jamil Aripin sama ada beliau berhasrat kembali ke negara asalnya Filipina, beliau berkata jika keadaaan di selatan Filipina semakin pulih beliau ingin balik untuk berjumpa anggota keluarganya. 

Beliau yang juga dikenali sebagai "Komander Janggut" memberitahu beliau sudah dilantik sebagai ketua kampung di skim penempatan di Taman Kota Keningau pada 2008 bagi menguruskan pelarian Filipina di situ. 
Sementara itu, dua rakyat India dan seorang rakyat Pakistan dalam keterangan mereka berkata mereka tidak perlu menunggu tempoh yang lama untuk memperoleh kad pengenalan biru dan juga MyKad. 

Saksi ke-25 Mohamed Hussein, yang lahir di Pakistan, berkata beliau sampai di Sabah pada 1987 dengan menaiki kapal terbang dari Karachi ke Kuala Lumpur kemudian ke Kota Kinabalu dan menaiki bot ke Tawau. 

Katanya, beliau memasuki negara ini menggunakan pasport Pakistan tanpa sebarang dokumen lain seperti sijil kelahiran atau sijil kewarganegaraan. 

Menceritakan bagaimana beliau boleh memiliki kad pengenalan biru seterusnya MyKad, saksi itu berkata, semasa tinggal di Tawau pada 1988 ada seorang lelaki warganegara Pakistan dan beberapa orang rakyat Malaysia telah menawarkan kepadanya untuk membuat IC. 

Katanya, beliau diminta menyerahkan pasport dan gambarnya kepada lelaki-lelaki yang tidak dikenalinya itu. 

"Beberapa minggu kemudian mereka datang berjumpa saya dan bawa saya ke JPN Tawau," katanya, sambil menambah bahawa ketika di pejabat JPN borang itu sudah diisi oleh beberapa orang yang lain kerana beliau tidak tahu menulis. 

Mohamed berkata, beliau kemudiannya menurunkan cap jarinya dan menandatangani borang yang sudah diisi itu dengan bayaran RM10 dan beliau juga diberikan resit sementara. 

Beliau berkata, pasport Pakistannya diserahkan kepada JPN dan beliau juga tidak memberikan sebarang bayaran kepada rakyat Pakistan dan beberapa orang rakyat Malaysia yang membawanya ke jabatan itu. 

Saksi itu berkata, pada tahun sama IC biru dikeluarkan kepadanya dan beliau juga kemudiannya menukarnya kepada IC yang bermutu tinggi seterusnya kepada MyKad. 

Beliau yang mempunyai dua anak berkata sepanjang proses penukaran IC itu tidak terdapat sebarang masalah dan beliau juga telah empat kali mengundi menggunakan IC itu. 

Mohamed yang berkahwin dengan rakyat Indonesia itu berkata sejak 1987 beliau telah empat ke lima kali pulang ke Pakistan menggunakan pasport Malaysia. 

Kepada soalan apakah yang tercatat di bahagian tempat lahir di dalam ICnya, Mohamed berkata "Tawau" dan ia dicadangkan oleh kakitangan JPN semasa beliau membuat IC. 

Beliau juga berkata, beliau pertama kali mengundi di kawasan pilihan raya Tawau kemudiannya di Papar. 

Aziz Kasim, yang dilahirkan di Tamil Naidu, India pula berkata beliau masuk ke Kuala Lumpur menggunakan kapal terbang kemudiannya ke Labuan dan Kota Kinabalu menggunakan pasport India pada 1980. 

Saksi ke-27 itu berkata, pada 1987 ada seorang yang mengaku pegawai kerajaan datang ke restoran tempat beliau bekerja dan memberitahunya dia (pegawai) boleh menolongnya dan rakannya mendapatkan IC. 

Katanya, beliau diminta menurunkan cap jari, menandatangani borang itu dan juga gambar dan empat bulan selepas itu pegawai itu datang lagi ke restoran bersama IC biru. 

Beliau juga setuju dengan cadangan Jamil bahawa beliau memperoleh IC biru itu tanpa mempunyai sijil lahir atau sijil kewarganegaraan. 

Aziz berkata, beliau juga pulang ke India menggunakan pasport Malaysia dan berkahwin dengan isterinya yang juga rakyat India. 

Ketika ditanya apa yang dicatat di tempat lahirnya di pasportnya, saksi itu yang telah menukar MyKad lamanya kpada MyKad terbaharu pada Jun tahun lepas berkata Semporna. 

Saksi terakhir Mohidin Batcha Sariff yang lahir di Madras, India pula berkata, beliau datang ke Sabah pada 1978 dan memperoleh kad pengenalan biru selepas enam bulan memohonnya. 

Mohidin, yang merupakan pemilik restoran, berkata pada 1982 beliau sendiri pergi ke JPN dan ada seorang kakitangan di sana telah menolongnya mengisi segala dokumen dan enam bulan kemudian pada tahun sama IC biru dikeluarkan kepadanya. 

Ketika ditanya di mana kah tempat lahir yang dicatat di dalam ICnya itu, saksi ke-28 itu berkata Beaufort. 

Pendengaran di hadapan lima anggota panel dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung 29 Jan ini. 

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. - BERNAMA 

2 comments:

Norham said...

Untung dia orang ni senang2 dpt taraf warganegara. Mendapat peluang sama rata dgn penduduk tempatan Sabah seperti Kadazan,Murut,Dusun,Orang Sungai dan Idahan.Mereka senang lenang di bumi Sabah. Anak cucu mereka merompak hak anak Sabah. Tahniah kepada yg buat kerja haram ni,anda telah merogol hak rakyat Sabah

Anonymous said...

Suami Hafilda bakal dapat warganegara Malaysia dan disambung dengn penganugerahan kontrak berjuta-juta kepada syarikatnya kelak. Tnggu dan lihat. hahahahaha

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive