PUSPAHANAS: AWAN MEGAH SDN BHD PERLU BAYAR KEMENTAH RM72.50 JUTA
PETALING JAYA 9 JAN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan (Kementah) yang tidak mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).
Beliau mendakwa dalam perjanjian, Kementah mensyaratkan penyediaan bon tanah dengan nilai itu sebagai jaminan projek terbabit akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Lebih membimbangkan, katanya apabila bon tanah itu luput secara automatik pada 3 Februari 2011. “Jadi, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara itu sedangkan dengan wang RM72.5 juta itu ia boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.
Projek pembinaan Puspahanas itu lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai tahun 2005 dan sepatutnya siap Januari 2011 mengikut jadual yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
“Kementerian Pertahanan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ini antaranya mengapa Kementerian tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran.
“Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah baru bagi menggantikan bon tanah asal yang luput,” katanya.
Tinjauan Rafizi ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya dua daripada 12 bangunan utama sedang dibina.
Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub kontraktor di tapak pembinaan, kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos lalu.
Sehubungan itu, satu jelajah nasional ke kawasan kem tentera akan diadakan mulai esok bagi menerangkan isu salah guna wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Jelajah itu akan dimulakan di Setiawangsa, Lumut, Bandar Tun Razak, Kuantan dan Butterworth.
No comments:
Post a Comment