07 January 2013

PAS akan bawa pendedahan Deepak mengadap YDP Agong - Mahfuz


January 07, 2013
KUALA LUMPUR, 7 Jan — Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi menyerahkan memorandum mengenai pendedahan usahawan karpet Deepak Jaikishan Rewachand jika Putrajaya masih lagi berdiam diri tidak membuat penjelasan.
Mahfuz memberikan tempoh dua minggu kepada kerajaan untuk tampil menjelaskan pendedahan pengakuan bersumpah (SD) kedua oleh P. Balasubramaniam dan isu tanah Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah.
“Saya beri tempoh dua minggu kepada kerajaan untuk menjelaskan pendedahan dan tuduhan oleh Deepak.
“Jika gagal, saya akan mengadap dan menyerahkan memorandum kepada Agong pendedahan oleh usahawan tersebut,” kata Mahfuz dalam satu sidang media di ibu kota hari ini.
Mahfuz juga memberitahu telah menghantar sepucuk surat permohonan kepada Setiausaha Sulit Kanan YDP Agong Datuk Elmi Bin Yusoff untuk mengadap Tuanku Abdul Halim.
“Saya telah menghantar satu surat kepada Datuk Elmi untuk memohon mengadap Tuanku,” tambah Mahfuz.
Menurut Mahfuz, keengganan dan sikap membisu agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) melibatkan isu tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Deepak baru-baru ini mencetus kontroversi dan mendapat perhatian umum selepas beberapa pendedahan mengejutkan terutamanya penglibatannya dalam SD kedua Bala mengaitkan kes pembunuhan model Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.
Malahan, Deepak juga menamakan peguam bergelar “Tan Sri” bertanggungjawab menyediakan SD tersebut yang pada masa sama mempunyai kepentingan dalam SPRM.
Misteri identiti peguam tersebut timbul sejak SD kedua oleh Bala, ia bertarikh sehari selepas yang pertama pada 3 Julai 2008 melibatkan pembunuhan Altantunya hingga menyebabkan dua anggota elit komando polis  didakwa dan menghadapi hukuman mati.
Dalam sidang medianya selepas itu, Bala ditemani oleh peguam Arulampalam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya dan mengatakan beliau dipaksa untuk menandatanganinya.
Beliau kemudian membuat akuan bersumpah kedua, yang kemudiannya didakwa beliau pada 2009 dilakukan oleh peguam lain tanpa persetujuannya.-
Perrhimpunan Umno sedang berlangsung tahun lalu apabila beliau menuduh Raja Roopiah menipu beliau dalam urusan pembelian tanah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive