Psy
Penyanyi Korea, Psy berjaya menarik ribuan pengunjung membanjiri Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional di Georgetown semalam. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mengesyaki ada pihak tertentu menghantar sekumpulan ahlinya untuk sabotaj Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang di Padang Sekolah Tinggi Han Chiang, kelmarin.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, beliau percaya kumpulan melaungkan perkataan ‘No’ (tidak) ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanyakan kepada orang ramai ‘Are you ready for BN’ (adakah kamu bersedia bersama BN) adalah kumpulan dihantar untuk merosakkan majlis.

“Bukan semua yang hadir melaungkan 'tidak'. Kita ada rakaman video yang menunjukkan sebahagian besar pengunjung melaungkan 'ya' apabila perdana menteri bertanyakan soalan itu beberapa kali.


“Saya percaya mereka dihantar untuk sabotaj rumah terbuka yang kita anjurkan ini dan kita dapati ada beberapa pengunjung yang hadir turut memakai baju seperti yang disarankan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan segelintir pengunjung yang menyahut seruan Najib dengan berkata 'tidak' kepada BN sebelum persembahan bintang Korea Selatan, PSY yang popular dengan tarian Gangnam dan artis tempatan Shila Amzah.

Chang Yeow berkata, sekiranya kumpulan yang melaungkan perkataan 'tidak' itu adalah ahli mahupun penyokong BN, ia adalah satu perkara yang membimbangkan.