Lahad Datu, 25 Feb - Polis memutuskan untuk bertindak
berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan menggunakan undang-undang berkaitan untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu.
"Kita akan membuat keputusan selepas melihat pelbagai faktor termasuk mengkaji kawasan persekitaran dan dalaman sebelum bertindak. Kita menunggu masa yang sesuai dan ini bermakna tiada lagi rundingan. Kita akan berlandaskan undang-undang...kalau ingin dakwa di mahkamah kita akan gunakan...ini terpulang kepada kita.
"Kami tidak kira mereka datang dari mana sama ada dari Kesultanan Sulu... tapi kita tahu mereka adalah orang luar yang datang ke negara kita dan mencabuli undang-undang dan kedaultan negara.
"Kita boleh lihat kesalahan itu banyak. Mungkin kita boleh mengambil tindakan di bawah kesalahan Kanun Keseksaan atau bersama undang-undang yang berkaitan," katanya kepada pemberita di Kompleks Pasukan Polis Marin Lahad Datu
di sini hari ini.
Hamza berkata polis akan menggunakan pendekatan yang bersesuaian dan tidak akan berkrompomi terhadap isu pencerobohan ke atas negara ini bagi menjamin dan
mempertahankan kedaulatan tanah air.
Beliau turut menafikan berlaku perbalahan sehingga mengakibatkan dua kematian di kawasan itu dan menambah pihaknya akan menyiasat perkara itu.
"Setakat tembakan kita ada dengar tapi saya berani mengatakan tembakan bukan dari pasukan keselamatan. Tembakan dari dalam pun kita tidak berani hendak mengesahkan...mungkin tembakan ke atas binatang atau amaran (kumpulan
penceroboh)," katanya mengulas laporan yang disiarkan media altenatif.
Beliau meminta masyarakat tidak gusar kerana keselamatan masih terkawal, meskipun pada masa kini, kumpulan itu kemungkinan berdepan masalah kekurangan bekalan air, makanan dan minyak.
Sementara itu, beliau mengesahkan polis menahan empat individu atas kesalahan tidak mempunyai dokumen yang sah pada awal pagi semalam di satu kawasan di Lahad Datu, namun kesemua mereka bukan anggota kumpulan terbabit.
Ketika ditanya mengenai kapal Filipina yang didakwa akan digunakan untuk membawa kumpulan itu pulang ke negara asal, Hamza berkata kapal itu tidak berada di perairan negara ini.
Polis mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo sejak 12 Feb lepas sebagai waris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. - BERNAMA
DARI LAHAD DATU - Penceroboh kehabisan stok makanan - bergantung pada tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan
Penceroboh yang berjumlah kira-kira 150 orang itu kini hanya bergantung sepenuhnya kepada tumbu-tumbuhan sebagai sumber makanan menyebabkan berlaku pemberontakan dalaman yang serius.
Malah lewat malam tadi difahamkan sepuluh ahli kumpulan itu cuba menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas tidak yakin lagi dengan objektif pencerobohan mereka bagaimapun perbuatan itu dapat dihidu oleh pengikut yang masih setia kepada ketua penceroboh, Raja Muda Azzumudie menyebabkan mereka semua tertangkap.
Dalam pada itu sumber memberitahu keadaan di Kg Tanduo masih terkawal hasil beberapa sessi rundingan dan optimis penceroboh akan menyerah diri sedikit masa lagi walaupun ketika ini mereka masih berdegil.
Keadaan ini menyebabkan ramai anggota kumpulan penceroboh hilang fokus dan tidak yakin matlamat pencerobohan ini. Mereka mahu menyerah diri tapi diancam oleh Azzumudie.
TERKINI
Kapal Kemanusiaan Filipina Berlabuh Di Luar Perairan Sabah
KOTA KINABALU: Sebuah kapal kemanusiaan Filipina berlabuh di luar perairan Sabah menunggu masa untuk mara bagi membawa pulang kira-kira 150 lelaki Sulu bersenjata yang bertahan di sebuah kampung terpencil di tepi pantai di Lahad Datu.
Selain membawa bekalan makanan, kapal berkenaan juga dilengkapi peralatan untuk merawat mana-mana individu yang cedera.
"Kami mempunyai pasukan perubatan yang terdiri daripada lima orang yang bersedia untuk sebarang kemungkinan," Dr Sangkula Lajali, yang mengetuai kumpulan itu, memberitahu The Star melalui telefon.
Kapal ini meninggalkan Tawi Tawi sebelum subuh pada Isnin dan telah "mengenal pasti selok-belok" di kawasan sempadan Filipina-Malaysia.
"Kami sedang menunggu kelulusan yang diperlukan untuk memasuki perairan Sabah," katanya sambil menambah kapal itu boleh tiba di Lahad Datu dengan kadar yang "sangat cepat."
Kapal lain telah dilaporkan berlepas dari pulau wilayah Sulu selatan Filipina awal Isnin untuk memasuki perairan Sabah.
Pegawai Filipina berkata kapal itu membawa ahli keluarga Kesultanan Sulu disertai oleh pegawai-pegawai kerajaan tertentu.
Gabenor Tawi Tawi Sadikul Sahali memberitahu media Filipina beliau menyedari tentang kapal dari Sulu itu tetapi tidak mendedahkan siapa berada di atas kapal.
No comments:
Post a Comment