28 March 2013

Cerita komando diserang di Ladang Tanduo


Semangat bantu membantu di kalangan para pejuang negara ketika menghadapi serangan pengganas Sulu di Lahad Datu adalah tinggi.

Mereka sentiasa bersedia untuk menolong rakan-rakan sepasukan yang menghadapi kesulitan ketika menentang musuh sehingga ada yang terkorban.

Semangat pengorbanan dan keberanian ini diceritakan tiga anggota pasukan Komando VAT69 yang tercedera semasa menentang musuh di Ladang Tandou.

Mereka ialah Koperal Azman Ampong, 39, Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zolkifli, 22, antara yang diraikan malam tadi pada majlis meraikan para wira polis peringkat negeri Perak yang menyertai Operasi Daulat.


Koperal Azman menceritakan mereka dibahagikan kepada empat kumpulan -- Alpha, Bravo, Charlie dan Delta untuk mengepung kawasan berkenaan bagi mengelak pengganas daripada menceroboh ke kawasan lain.

"Dalam kejadian pagi itu, musuh berada di sekeliling kami. Saya dan Tarmizi dari kumpulan Charlie manakala Qaiyum dari kumpulan Delta. Ikut perancangan asal, pasukan Bravo dan Charlie adalah unit gempur.

"Semasa serangan berlaku, mereka (pengganas) hanya nampak saya dan Tarmizi kerana kami berada di barisan hadapan yang jarak antara pokok kelapa sawit tempat kami berlindung dengan mereka yang berada di hadapan, hanya selang tiga pokok sahaja.

"Ketika saya dan Tarmizi berlindung di sebalik pokok yang sama, saya terkena tembakan pada bahagian kanan sementara Tarmizi pada bahagian kiri.

"Apabila tangan kiri Tarmizi mengenai tembakan, pelurunya pula telah habis dan dia tidak boleh menukar peluru. Dan semasa saya minta dia berundur ke belakang, saya terkena tembakan di bahagian belakang," katanya.

Azman berkata kemungkinan besar rakan mereka Allahyarham Zulkifli Mamat ditembak musuh ketika mahu mengambil alih tempat Tarmizi yang berundur ke belakang.

"Kemungkinan arwah nampak Tarmizi mahu keluar dan dia ingin ambil alih tempat Tarmizi kerana dia berada di bahagian belakang. Saya lihat dia terbaring menghadap saya dan keadaanya badannya terkeluar dari lindungan pokok ... seperti dia mahu menuju ke arah saya," katanya.

Mohd Tarmizi pula berkata beliau masih ada kekuatan selepas terkena tembakan.

"Saya masih teringat cara musuh serang dan tembak sebab jarak antara saya dengan musuh tidak jauh," katanya.

Bagi Mohammad Qaiyum, beliau yang berada dalam kumpulan Delta terkena tembakan curi ketika mahu membantu rakan-rakan dari pasukan lain.

"Kami berada dalam kumpulan berasingan dan mempunyai tugas masing-masing. Ketika kumpulan Bravo dan Charlie di serang, saya yang berdekatan dengan mereka datang membantu.

"Saya ditembak curi dan hampir terkorban. Saya terhutang budi dan nyawa kepada rakan yang selamatkan saya kerana mereka sanggup ke hadapan untuk keluarkan saya walaupun mereka tahu yang mereka juga berada dalam keadaan bahaya," katanya.

Kesemua mereka kini masih menerima rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Pada majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM300,000 kepada Tabung Wira Operasi Daulat.

- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive