09 March 2013

Ops Daulat: Pasukan Keselamatan Tahan 27 Orang di Zon Merah



Tiga bot yang membawa 27 penumpang ditahan oleh pasukan keselamatan di Tanjung Batu. Mereka ditahan ketika bot yang dinaiki berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu
LAHAD DATU: Pasukan keselamatan menahan 27 orang yang menaiki tiga buah bot ketika berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata mereka yang mendakwa kononnya ingin menangkap ikan ditahan di atas bot masing-masing setelah pihak keselamatan mencurigai kehadiran mereka di kawasan larangan itu.
"Kita curigai kehadiran mereka berhampiran lokasi operasi, jadi kita serahkan kesemua mereka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut. "Walaupun tiada senjata ditemui, saya telah arahkan polis Daerah Lahad Datu untuk jalankan siasatan mendalam dan akan ambil tindakan sewajarnya jika mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh berkenaan," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini, Sabtu.
Beliau berkata penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan dari Sulu meningkat kepada 106 orang, berbanding 79 orang semalam.
Berikutan operasi membersih dan membanteras musuh sedang dijalankan, Ismail menasihati orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan yang ditetapkan kerana boleh menjejaskan operasi selain membahayakan mereka yang tidak berkenaan.
Berhubung 53 mayat penceroboh yang belum dibawa keluar dari Zon Merah, beliau berkata semua militan yang ditembak itu belum diperiksa oleh unit Forensik berikutan kedudukannya berhampiran dengan lokasi di mana musuh berada dan keadaan itu boleh mengancam nyawa pasukan sekiranya dihampiri.
Ismail berkata walaupun terdapat beberapa mayat telah dibawa keluar, namun sejak unit Forensik diserang Rabu lepas pihaknya terpaksa mengambil langkah lebih berjaga-jaga.
Katanya sehingga kini unit Forensik hanya merakamkan gambar penjenayah yang terbunuh tetapi belum dapat menjalankan proses siasatan dan bedah siasat ke atas mayat-mayat terbabit bagi tujuan pendakwaan.
Selepas lima hari dilancarkan, Ops Daulat yang membabitkan pasukan polis dan angkatan tentera berjaya membunuh 53 orang militan, manakala tiada anggota pasukan keselamatan yang dilaporkan cedera atau terkorban.-BERNAMA


PDRM Tambah Bilangan Anggota Pasukan Kesleamatan di Lahad Datu - Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengatur untuk menambah kekuatan anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu dan keseluruhan pantai timur Sabah.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang berbincang berkaitan penambahan anggota untuk mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan terbabit. "Kita akan menaikkan jumlah anggota keselamatan kita di sana. Sebelum ini, Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengumumkan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.
"Jadi kita sedang berbincang mengenai bagaimana kita hendak menubuhkan kawasan keselamatan khas itu dan bagaimana kita hendak mengambil pendekatan dalam mewujudkan kawasan keselamatan khas tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek kepada perwira negara Lahad Datu, Sabah di sini Sabtu.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Sabah bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini.
Kawasan Keselamatan Khas yang berpusat di Lahad Datu itu akan menjadi pusat perintah yang menempatkan beberapa kabin sementara agar dapat berfungsi segera.
Beliau turut berkata moral anggota PDRM yang berada di sana amat tinggi, dan rata-ratanya berasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian pasukan keselamatan itu untuk berjuang dan menyelamatkan Sabah.
Pada majlis itu, Khalid menerima cek bernilai RM30,000 daripada Presiden Gurdwara Pusat Latihan Polis DSP Mender Singh untuk disumbang kepada waris perwira serta anggota yang cedera berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna.
Dalam ucapannya, beliau berkata sumbangan itu merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi, bukan sahaja kepada waris yang terkorban, tetapi menjadi suntikan semangat kepada para pejuang. "Mereka (pasukan keselamatan) sedang menyerahkan jiwa raga dalam mencurah khidmat bakti dan berjuang bagi mendaulatkan negara di Sabah. "Saya yakin sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan agama, bangsa dan budaya tentulah perwira-perwira kita akan lebih bersemangat dalam meneruskan 'Op Daulat' dalam menghapuskan pengganas yang menceroboh kedaulatan negara kita," katanya.
Khalid mengakhiri ucapan dengan harapan Sabah kembali aman sejahtera dan berharap rakyat negeri itu boleh menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Kira-kira 400 orang hadir pada majlis itu, antaranya, kaum Sikh, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kaum Sikh dari seluruh Gurdwara di Malaysia mengadakan upacara doa yang bermula semalam hingga 17 Mac ini agar tiada lagi episod pertumpahan darah melibatkan anggota pasukan keselamatan, dan berharap krisis di Sabah dapat diselesaikan segera.
Turut hadir Pengerusi Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) Polis Diraja Malaysia Datuk Wira Ayub Yaakob, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah. -BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive