10 April 2013

Bapa Saiful masuk PKR


AZLAN: Saya tidak mahu membuat apa-apa kenyataan... hanya ingin menyerahkan borang permohonan sebagai ahli PKR. Pic: SM AminAZLAN: Saya tidak mahu membuat apa-apa kenyataan... hanya ingin menyerahkan borang permohonan sebagai ahli PKR. Pic: SM AminPETALING JAYA: Setelah membuat kenyataan yang mengejutkan minggu lepas apabila mendakwa kes liwat kedua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan adalah konspirasi kerajaan, bapa kepada Saiful hari ini menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Azlan Mohd Lazim berkata, beliau telah berjuang di dalam PKR sejak tahun 1998 diperingkat akar umbi.
“Saya tidak akan membuat apa-apa kenyataan hari ini... saya ingin menyerahkan borang permohonan saya sebagai ahli PKR.

“Apa yang saya lakukan sekarang adalah menyokong Anwar untuk membuat perubahan dan berharap kemenangan yang cemerlang di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,” kata beliau pada sidang media penyerahan borang sertai PKR di ibu pejabat parti itu di sini.


Menurut Azlan, beliau meminta maaf kepada Saiful ke atas pendedahan yang dibuat dan tidak berniat untuk mengkhianati anaknya itu.

“Saya ingin meminta maaf kepada beliau (Saiful)... saya tidak berniat menganiayai atau mengkhianati anak kandung sendiri... kasih sayang saya tidak berbelah bahagi.

"Tetapi, sebagai rakyat Malaysia, saya berhak membuat keputusan sendiri dan saya sudah fikir implikasi terhadap diri saya dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Azlan tidak menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang beliau telah dibayar untuk membuat kenyataan tersebut.

“Saya tidak berhak untuk menahan tomahan dari orang ramai. Apa yang saya lakukan sekarang ialah menyertai parti politik… tidak ada kena-mengena dengan kes mahkamah anak saya.”

Jumaat lepas, Azlan telah mengaku kes liwat di antara Saiful dan Anwar yang kini diperingkat rayuan di mahkamah adalah fitnah dan konspirasi politik. Beliau telah berkata beliau yakin dan percaya bahawa anaknya telah dipergunakan pihak tertentu, khasnya melalui Pegawai Khas Perdana Menteri, bagi tujuan tersebut.

Ketika ditanya jika beliau akan melakukan sumpah laknat untuk membuktikan dakwaan itu betul, seperti yang telah dilakukan oleh Saiful, Azlan menolak untuk melakukannya.

"Saya mempunyai prinsip yang jelas... saya tidak akan bersumpah. Saya tegas dengan kenyataan akhbar saya (sebelum ini),” katanya.

Azlan yang turut ditemani Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pada sidang media itu, bagaimanapun menghampakan wartawan apabila beliau mengelak menjawab pelbagai soalan mengenai dakwaannya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Beufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.




- mD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive