20 August 2013

Apakah PAS semakin lemah?

  • Pas semakin lemah?Dari kiri, Mohd Nazlan, Dr Nik Mazian dan Tuan Mazlan merupakan calon Pas yang memenangi PRU13 pada Mei lalu.
 1 / 1 
PASIR PUTEH - Selepas lebih 100 hari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), pimpinan Pas Kawasan Pasir Puteh boleh dikatakan masih berehat sambil merenung punca kemerosotan undi yang diperoleh berbanding PRU12.

Agenda merampas semula kerusi Dun Semerak dan Selising yang dimenangi BN dalam PRU13 Mei lalu perlu diberi keutamaan dan gerakannya harus bermula dari sekarang manakala kekuatan di Parlimen, Dun Limbongan dan Dun Gaal perlu terus diperkasakan tanpa perlu berehat panjang sehingga rakyat tercari-cari di mana menyepinya wakil-wakil yang mereka pilih.

Sebelum muktamar pemilihan Pas, ramai menganggap rombakan pimpinan Pas Kawasan mesti dilakukan bagi memastikan parti itu bangkit semula pada PRU14 walaupun kelihatan agak sukar kerana pimpinan tertinggi mempunyai kelebihan meraih undi daripada lantikan politik.

Masih belum terlambat untuk melihat perubahan atau membina semula kekuatan sekiranya semua pihak meletakkan perjuangan parti di hadapan dan menolak ke tepi kepentingan peribadi.

Seluruh pimpinan menyedari bahawa isu Datuk Husam Musa tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri bukan ‘isu Kota Bharu’, ia menular ke seluruh daerah sehingga secara diam membentuk dua kumpulan dalam Pas dan daerah ini tidak terkecuali.

Sekiranya ini berterusan, maka Pas mempunyai masalah besar untuk berdepan BN kerana tempoh yang ada hanya cukup untuk menyelesaikan kemelut dalaman, itu pun jika mekanisme berjaya diwujudkan.

Selesaikan kemelut

Sejak dahulu lagi penyokong BN menjangkakan pengaruh Pas semakin lemah selepas Datuk Nik Abdul Aziz tidak lagi menjadi Menteri Besar dan sambutan dingin rakyat kepada program kerajaan negeri di daerah ini akhir-akhir ini mengiakan anggapan tersebut.

Justeru, sudah sampai masanya untuk seluruh pimpinan menilai dengan jujur peranan dimainkan jentera Pas pada PRU13 lalu yang tetap membantu kempen walaupun mereka atau pemimpin pilihan mereka tidak dipilih sebagai calon PRU.
Sudah sampai masanya juga untuk melihat kemungkinan penguasaan BN semakin meluas pada PRU14 jika kemelut itu tidak dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya diredakan dengan bijaksana.

Terlalu ramai ahli Pas yang boleh di bawa ke barisan hadapan tapi disia-siakan sedangkan idea serta kudrat mereka benar-benar diperlukan bagi menguatkan parti sekali gus menyekat kebangkitan BN.

Tidak mustahil undi BN meningkat lagi pada PRU14 atau tidak keterlaluan sekiranya dikatakan BN merampas kesemua kerusi pada PRU14 kerana secara keseluruhan undi diperoleh Pas pada PRU13 merosot jika dibandingkan dengan PRU12 ketika kesemua empat kerusi Dun dan satu parlimen menjadi milik Pas.

Undi Pas merosot

PRU13 menyaksikan calon Pas, Datuk Dr Nik Mazian menang dengan majoriti 1, 888 undi untuk kerusi Parlimen berbanding 3, 968 yang diperoleh Mohammad Hussin pada PRU sebelumnya.

Demikian juga untuk kerusi Dun Limbongan di mana calon Pas, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah menang dengan majoroiti 1, 042 undi sedangkan pada PRU12, Zainuddin Awang Hamat menang dengan majoriti 1, 633 undi manakala Dun Gaal menyaksikan calon Pas, Tuan Mazlan Tuan Mat menang dengan majoriti 302 undi berbanding 323 undi majoriti yang dicatat Nik Mazian pada PRU12.

Kalah di Semerak dan Selising cukup memeritkan Pas dan seluruh penyokong kini berharap Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim dan Penyelia Dun Selising, Nik Yusof Nik Abdullah mengembalikan kepercayaan pengundi.

Wan Hassan memikul tanggung jawab lebih besar kerana kerusi Dun Semerak yang dimenanginya pada PRU12 dimenangi BN pada PRU lalu, jika sekali lagi gagal ia bermakna karier politik beliau akan berakhir.

Berbeza dengan Nik Yusof yang hanya ‘memasuki rumah baru’ selepas calon Pas, Saipul Bahrin Mohamed tewas kepada calon BN Zulkifle Ali yang menang dengan hanya perbezaan 107 undi. Jika tidak ada lagi calon Bebas pada PRU14, di atas kertas Pas dilihat tidak mempunyai masalah untuk menawan semula kerusi tersebut.

Jika tidak mahu umum menjawab ‘ya’ untuk soalan ‘Adakah Pas semakin lemah?’, maka semua pihak khususnya pimpinan yang ada mesti berfikiran terbuka untuk menerima atau membincangkan apa saja pandangan.

1 comment:

Anonymous said...

PAS tidak lemah malah lebih kuat bagi yang kuat beragama. Yang cari untung dunia memang kata PAS lemah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive