Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil yang sedang bergelut mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti 19 Oktober depan, dilaporkan akan dilantik sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri berkaitan pembangunan wanita dan keluarga dalam waktu terdekat ini.
Meskipun Najib belum mahu mengesahkan mengenai berita itu dengan hanya berkata, "Tiada apa-apa pengumuman lagi, biarkan saja begitu" ketika ditanya wartawan tetapi di dalam Umno ia sudah menjadi percakapan yang semakin meluas diperbualkan.
Pelbagai pro dan kontra kedengaran mengenai spekulasi itu tetapi kebanyakannya berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai untuk Najib memberikan jawatan yang boleh memperlihatkan sokongannya kepada mana-mana calon kerana ia dikhuatiri akan turut memberi kesan penolakan sama terhadap Perdana Menteri.
Sementara golongan yang kecewa dengan skandal lembu NFC kerana membebankan Umno dan mahukan Shahrizat ditukar dengan pemimpin lain yang tidak tercemar kepimpinannya, Shahrizat dan penyokong pula berasakan pelantikan sebagai penasihat ini berita gembira dan umpama tonik yang mampu menambah-segarkan lagi semangat untuk mempertahankan kedudukannya sekarang.
Beliau yang bakal dicabar Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dan mungkin juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Halimah Saddique tentunya juga seperti mendapat nyawa tambahan jika pelantikan itu benar-benar menjadi kenyataan.
Dengan kedudukannya sekarang yang tidak memegang apa-apa jawatan, sementara pencabarnya berjawatan ahli parlimen dan timbalan menteri, di samping kontroversi berkaitan skandal lembu NFC yang pernah menyelubungi suami dan keluarganya serta majoriti ahli Umno berpendapat beliau wajar ditukar, penganugerahan jawatan penasihat itu juga menunjukkan bahawa Najib menyokong dan masih mahukan kepada kepimpinannya merajui Pergerakan Wanita Umno.
Sejak isu lembu NFC, nama Shahrizat dan Wanita Umno tercemar dengan teruk sekali. Walaupun isu itu hanya melibatkan suami dan anak-anaknya, kedudukan Shahrizat sebagai menteri ketika projek itu diberikan menimbulkan persoalan konflik kepentingannya sebagai pemimpin serta anggota pentadbiran kerajaan.
Apatah lagi, pinjaman mudah RM250 juta yang diperolehi untuk projek lembu itu turut dilaburkan untuk pembelian pelbagai jenis hartanah dan kondominium mewah yang membayangkan bahawa ada sesuatu tidak kena dalam pengendalian projek itu.
Berikutan desakan dan kecaman pelbagai pihak, Shahrizat akhirnya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga serta tidak dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum lalu. Beliau dilantik sebagai menteri pada 2009 walaupun selepas kalah kepada Nurul Izzah di Lembah Pantai pada 2008 lalu, jawatan penasihat berkaitan wanita dan keluarga kepada Perdana Menteri dianugerahkan kepadanya.
Jika berita mengenai pelantikan sebagai penasihat bertaraf menteri benar-benar menjadi kenyataan, bermakna Shahrizat kembali semula ke jawatan yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu.
Menjelang pemilihan parti Oktober ini, kedudukan Shahrizat adalah antara yang paling dipertikaikan. Ramai yang melihat isu yang pernah menyelubungi diri dan keluarganya akan terus menjadi beban kepada Umno jika beliau terus memegang jawatan Ketua Wanita Umno.
Beberapa pemimpin Umno secara terbuka mendesak Shahrizat secara sukarela mengundurkan diri dan lebih memikirkan kepentingan parti secara keseluruhannya berbanding mengekalkan keinginan untuk terus bergayut pada jawatan yang pernah membahagiakan diri dan keluarganya itu.
Perkhabaran bahawa Najib bakal melantiknya sebagai penasihat dalam waktu yang terdekat ini tentunya juga mengundang persoalan yang tidak menggembirakan kepada kebanyakan pemimpin Umno. Dengan Najib melantiknya ke jawatan bertaraf menteri itu hanya beberapa bulan menjelang hari pemilihan pastinya ia dianggap suatu pengiktirafan dan sokongan pucuk pimpinan terhadapnya.
Lebih-lebih lagi bakal pencabar yang mahu menentangnya hanya berkedudukan sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri sahaja.
Untuk berlaku adil dan supaya tidak dianggap memihak, adalah sebaiknya Najib menangguhkan pelantikan Shahrizat itu. Lagi pula tiada keperluan pun sebenarnya Najib mempunyai penasihat berkaitan wanita dan keluarga kerana jawatan Manteri Wanita dan Keluarga sudah pun ada penyandangnya iaitu Rohani Karim dari Sarawak.
Kalau pun ingin juga melantik Shahrizat sebagai penasihat, lantiklah selepas beliau menang Ketua Wanita Umno nanti.
Memberi jawatan kepada Shahrizat hanya menunjukkan Najib memberi sokongan kepadanya dan seolah-olah tidak mahu kepada calon lain memimpin Wanita Umno sedangkan calon lain mungkin lebih baik daripada Shahrizat.
Selain itu, pelantikan penasihat ketika ini juga pembaziran kerana jika Azalina dan Halimah yang menang nanti, kedua-dua mereka juga boleh terus dilantik sebagai menteri bagi mengisi kouta Ketua Wanita Umno tanpa perlu menambahkan beban kewangan kerajaan dengan mengisi jawatan penasihat dalam waktu yang sama.
Dengan menunjukkan sokongan dan pengiktirafan kepada Shahrizat juga, sedangkan majoriti ahli dan pemimpin Umno berpendapat beliau sebagai beban dan tidak lagi relevan kepada parti, kedudukan dan masa depan Najib juga boleh terancam kerananya. – shahbudindotcom.blogspot.com,
No comments:
Post a Comment