YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera membatalkan konsert kumpulan heavy metal 'Lamb of God' yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 September ini.
Katanya beliau menyokong keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan mendesak pihak berkenaan membatalkan konsert tersebut.
"Saya harap pihak berwajib putuskan segera isu ini kerana masyarakat menentangnya...bukan sahaja Jakim, NGO (badan bukan kerajaan) Muslim juga sepakat konsert ini (perlu) diharamkan dan tidak dibawa ke Malaysia," kata Jamil Khir yang ditemui pemberita dalam program santai bersama penduduk di Sungai Limau Dalam, dekat sini, Ahad.
Katanya beliau tidak pasti sama ada konsert tersebut sudah mendapat kelulusan tetapi sekiranya sudah dikeluarkan ia hendaklah ditarik balik.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha Jakim dalam kenyataan dua hari lepas berkata bantahan itu dibuat berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Beliau berkata bantahan itu juga selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam.
Sementara itu, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata program santai di kawasannya itu bertujuan mendekati pemimpin dan masyarakat setempat bagi menyelami masalah mereka untuk diatasi bersama.
Katanya pertemuan tidak rasmi seumpama itu memberikan kelebihan untuk mendapat maklumat dan keperluan rakyat dengan lebih jelas. -BERNAMA
1 comment:
Bila masuk jadi ahli UMNO sesaorang itu bukan saja setakat jadi penyokong kuat parti dan akan mencari kekayaan bahkan akan menjadi besar kepala dan bapak gengster dan kepala samseng kampong,sebabnya mudah mereka-mereka ini semua kebal dari tindakkan undang-undang kerana ada pihak dibelakang yang akan menyelamatkan mereka terutama bila berada dibawah payung NGO mirip ke UMNO, lihat saja bila sesuatu kejadian yang melibatkan pihak parti lawan ,semua tindakan oleh pihak berwajib akan menunggu arahan dari pihak atasan mereka,tapi bila dipihak UMNO buat aduan dalam sekelip kilat siasatan akan dijalankan siap dengan bukti untuk didakwa oleh jabatan yang terlibat.Inilah suara hati rakyat yang tidak memihak di sebelah mana-mana parti.
Post a Comment