26 November 2013

13 juta tajaan perkahwinan Zain & Rozita Che Wan


Zain Saidin dan Rozita Che Wan bakal bergelar suami isteri pada 11 Disember depan.
SHAH ALAM: Majlis Perkahwinan pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin mendapat tajaan bernilai RM13 juta sekaligus disifatkan sebagai perkahwinan termahal selebriti sepanjang 2013.
Syarikat barangan kemas Habib Jewels merupakan penaja terbesar sebanyak RM10 juta selain 27 pihak penaja lain.
Rozita, 40, berkata, dia tidak menyangka akan menerima tajaan perkahwinan yang begitu besar dan menganggapnya ia sebagai rezeki perkahwinan buatnya dan Zain, 29.
"Pada asalnya kami merancang untuk mengadakan sebuah majlis yang sederhana, tetapi apabila ditaja, lain pula jadinya.
"Jangan salah faham pula. Bukan saya yang cari penaja. Mereka yang cari dan kami bersyukur untuk itu," katanya pada majlis sidang media pengumuman tarikah perkahwinan pasangan tersebut di Pusat Konvesyen Setia City di sini pada Isnin.
Antara penaja yang terlibat termasuklah Bianco Mimosa, Man Kajang, Fairuz Ramdan, Safi Rania, Annas Eskay, Ikram Photography, Manggis Production, Kad Lestari, dan Seri Catering.
Pasangan tersebut mengesahkan akan bernikah pada 11 Disember depan iaitu pada Rabu di Gazebo Setia City Convention Centre, di sini, selepas solat maghrib.
Manakala, majlis persandingan akan diadakan pada 13 Disember di Grand Ballroom, Pusat Konvesyen Setia City pada pukul 8 malam.
Bagi majlis berinai akan diadakan di Ngah Mahligai, dekat sini pada 10 Disember, pukul 8 malam.
Terdahulu, pasangan ini telah mengadakan majlis merisik di Carcosa Sri Negara pada 29 September lalu disaksikan seramai 60 orang tetamu.
Tambah Rozita, dia akan turut menerima wang hantaran sebanyak RM23,200 dan mas kahwin berjumlah RM9,300 selain cincin nikah bernilai RM93,000.
Beritahu pelakon drama Kiah Pekasam itu, selepas bergelar isteri kepada Zain, dia akan memperlahankan pembabitan aktiviti seninya kerana mahu memberi fokus terhadap keluarga dan perniagaan busana muslimah yang dijalankan sejak 2011.
"Selepas ini saya lebih selektif dalam setiap tawaran lakonan yang diambil dan hanya akan berlakon di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
"Kiranya saya akan lebih menumpukan perhatian kepada perniagaan dan keluarga," ujarnya.
Zain yang juga merupakan pelakon siri Oh My English pula berkata, dia berharap dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah kepada anak-anak Rozita iaitu Ammar Effendi, 16 dan Aniq Ezra, 13.
"Selain itu saya bersama Ammar dan Aniq meminta Rozita supaya masakkan untuk kami setiap kali dia cuti daripada penggambaran," selorohnya.
Sementara itu, Astro Ria menerusi saluran 104 merupakan penyiar rasmi bagi majlis akad nikah dan persandingan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive