05 November 2013

PRK Sungai Limau: Apakah ini pengakhiran Mahathirisme?

OLEH SHERIDAN MAHAVERA
NOVEMBER 05, 2013
LATEST UPDATE: NOVEMBER 05, 2013 08:01 AM
Calon PAS, Mohd Azam Abdul Samad berjaya mengekalkan kerusi PAS di Sungai Limau. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 November, 2013.Calon PAS, Mohd Azam Abdul Samad berjaya mengekalkan kerusi PAS di Sungai Limau. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 November, 2013.Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Sungai Limau pada saat-saat terkahir untuk berkempen pada 3 November, seorang aktivis kanan PAS dari Alor Star menyifatkannya sebagai satu “kelegaan”.
“Ramai penduduk di Sungai Limau berlatarkan pendidikan agama,” kata aktivis itu merujuk kepada komuniti guru, pelajar dan ibu bapa yang terlibat dengan pendidikan Islam atau digelar “pondok” di kawasan itu.
“Mereka masih ingat bagaimana Mahathir merendah-rendahkan PAS dan konsep negara Islam kami,” kata aktivis itu merujuk kepada “perang panjang” bekas Perdana Menteri itu dengan PAS sebelum meletakkan jawatan pada 2003.
PAS dan agenda negara Islam menjadi sasaran kritikan Dr Mahathir terutama selepas parti Islam itu berjaya merampas kerajaan negeri Terengganu dan menang banyak kerusi di Kedah dalam pilihan raya umum 1999.
Jadi ia umpama “hari pembalasan” apabila Dr Mahathir turun untuk membantu memancing undi bagi Barisan Nasional (BN) daripada orang yang pernah beliau “perangi” satu ketika dahulu.
Tetapi penganalisis dan aktivis berkata, anak kelahiran Kedah itu mempunyai pengaruh untuk memenangi hati pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan pada hari mengundi.
“Saya tidak percaya pengaruhnya hari ini sehebat seperti media gembar-gemburkan,” kata penganalisis politik, Prof Datuk Dr Shamdul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia merujuk kepada Dr Mahathir.
“Mungkin di peringkat antarabangsa, tempat seperti Somalia, beliau masih disanjung, tetapi tidak lagi di sini,” katanya.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menulis di blognya mengenai pengaruh Dr Mahathir baru-baru ini.
Dalam satu tulisan di blognya pada 3 November, Ahli Parlimen Gelang Patah itu membuat spekulasi mengenai “Apakah Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau terakhir sejak enam bulan lalu dalam pilihan raya kecil esok?”
Semalam, pentadbir sekolah agama Mohd Azam Abdul Samat, 37, dari PAS berjaya mendapat 12,069 undi untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau yang baru.
Mohd Azam menewaskan bekas pensyarah, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dari BN dengan majoriti 1,084 undi.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center berkata, beliau percaya pengaruh Dr Mahathir hanya kuat di kalangan penyokong BN.
“Pengaruhnya mungkin berkesan kepada seseorang yang pernah mengundi BN pada masa lalu tetapi tidak berpuas hati dengan BN dan keliru siapa yang perlu diundi.
“Bagi orang seperti ini, aura Dr Mahathir masih lagi kuat,” katanya yang pernah membuat tinjauan mengenai pengaruh politik Dr Mahathir.
Pemantauan Ibrahim selari dengan laporan aktivis Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwa Dr Mahathir melawat rumah kebanyakan bekas pemimpin PAS tempatan.
 “Beliau melawat pemimpin PAS yang baru-baru ini dipecat daripada parti. Kami percaya niatnya untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong PAS,” kata seorang lagi aktivis PAS Kedah.
Aktivis itu berkata, Dr Mahathir bertujuan mengelirukan sesetengah penyokong PAS untuk berfikir bahawa pemimpin tempatan ini sekarang menjadi penyokong BN.
“Kehadirannya mungkin mempunyai kesan. Kami tidak nafikan itu,” kata aktivis itu.
Aktivis Umno turut mengakui pengaruh Dr Mahathir tidak sekuat semasa beliau menyerang penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dahulu.
“Mungkin bagi ahli Umno berjawatan, beliau memberikan sokongan moral. Tetapi bagi golongan pertengahan Umno, mereka sudah penat melayan kritikannya kepada parti,” kata seorang ahli Umno veteran Kedah.
Shamsul Amri berkata, walaupun pengaruh Dr Mahathir mungkin sudah berakhir, keadaan mungkin berbeza bagi Umno, terutama Umno Kedah di bawah pimpinan anaknya Mukhriz yang mengetuai kempen di Sungai Limau.
Ini berdasarkan fakta bahawa Umno berjaya mengurangkan majoriti diperolehi PAS di Sungai Limau pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Sungai Limau merupakan kubu kuat PAS sejak 1995.
Shamsul Amri berkata, pada 5 Mei, Umno merampas kembali semua kerusi yang mereka hilang kepada PAS pada pilihan raya umum 2008. Mereka juga mendapat majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih besar berbanding kerajaan Pakatan Rakyat sebelum itu.
“Jadi apabila PAS dan Pakatan tidak dapat berbuat banyak semasa pentadbiran mereka BN Kedah sekarang boleh mendapatkan dana dari pusat untuk membangunkan negeri. Sekarang Umno membuat laluan di kubu kuat PAS,” katanya.
Katanya, sebagaimana sokongan pengundi boleh berubah terhadap sesetengah personaliti, ia juga boleh berlaku kepada kesetiaan terhadap sesuatu parti. – 5 November, 2013.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive