10 December 2013

Amal kerana Allah' kunci kekuatan Unit Amal PAS


KUALA LUMPUR: Moto 'Beramal Kerana Allah menjadi asas kekuatan anggota Jabatan Amal Malaysia di bawah Pemuda PAS Malaysia (PPM) untuk memberikan perkhidmatan apabila diperlukan.

Terkenal dengan gelaran 'tentera merah', anggota Unit Amal ini sering muncul menghulurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan disaat ditimpa musibah.


Kemunculan mereka membantu mangsa banjir di Johor, Pahang dan Terengganu ketika ini sekali lagi menjadi sebutan masyarakat khususnya mereka yang terlibat dengan banjir sendiri.

Ketua PPM, Suhaizan Kaiat berkata, anggota Unit Amal tidak pernah mengharapkan pujian masyarakat dalam setiap khidmat bantuan yang diberikan sebaliknya menghulurkan bantuan secara sukarela.

"Bukan pujian manusia yang kita cari. Bukan publisiti yang kita mahu. Bagi Unit Amal, niat kita membantu orang yang memerlukan dan semoga ia dikira sebagai amal ibadah.

"Usaha ini sangat murni dan bagi Pemuda PAS, memang kita tidak mampu balas dengan wang ringgit," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, sudah terbiasa dalam keadaan yang sentiasa bersedia, ada anggota Unit Amal yang rata-ratanya berkerja makan gaji, sanggup memohon cuti untuk turun membantu mangsa banjir tanpa diarahkan.

"Unit Amal bekerja secara sukarela, dari pagi sampai ke lewat malam dan kadang-kadang tanpa henti.

"Mereka mengagih sumbangan, tolong angkut barang dan jadi tukang masak, mengikut keperluan dan situasi.

"Tidur pula kadang-kadang dalam khemah, surau atau masjid," katanya.

Tambah beliau juga, kerja lebih berat menanti Unit Amal iaitu operasi pembersihan rumah mangsa banjir selepas banjir surut.

"Kerja paling berat adalah selepas banjir, iaitu kerja-kerja pembersihan. Kadang-kadang lumpur paras betis dalam rumah kena dicuci dan sudah tentu menggunakan tenaga yang banyak," katanya lagi.

Namun tegasnya, dalam kesibukan dan kepenatan membantu orang yang memerlukan, anggota Unit Amal tidak sesekali meninggalkan ibadah wajib di samping mengamalkan perkara-perkara sunat.

"Dalam sibuk tolong orang, solat zikir kita tak tinggal. Semua ibadah yang wajib kita laksanakan dan kita jaga betul-betul kerana itu kewajipan kita," katanya.

Justeru Suhaizan sangat berharap agar lebih ramai anak muda yang akan menyertai Unit Amal dan sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan material.

"Pemuda PAS sangat mengalu-alukan orang ramai khususnya anak-anak muda yang masih kuat bertenaga untuk menyertai unit amal bagi memberi khidmat ketika diperlukan," katanya. - Detik Daily


Baca juga Unit Amal

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive