11 December 2013

BANJIR KINI : Mangsa banjir T’ganu meningkat, Pahang reda, Johor kekal

           
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 14,643 orang berbanding 12,460 pada sebelah petang semalam.
           
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), ini susulan angka mangsa banjir meningkat di semua daerah semalam.
          
Di Dungun, jumlah mangsa meningkat kepada 2,789 orang (701 keluarga) malam tadi berbanding 317 orang (77 keluarga) petang semalam manakala di Kemaman meningkat kepada 10,894 (2,487 keluarga) daripada 10,849 orang (2,476 keluarga) sebelah petang.
           
Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa banjir turut meningkat iaitu 790 orang (245 keluarga) berbanding 317 orang (77 keluarga), pada petang semalam manakala di Marang 21 orang (4 keluarga) berbanding 10 orang (3 keluarga) pada sebelah petang.

Dalam masa sama, Setiu pula dilanda gelombang banjir kedua apabila seramai 149 orang (43 keluarga) mangsa dari tiga buah kampung dipindahkan ke pusat pemindahan malam tadi.
   
Serentak itu, tiga buah pusat pemindahan telah dibuka di daerah Setiu iaitu di surau Kampung Bukit Nyior menempatkan 67 orang (16 keluarga), Masjid Kampung Merbau Menyusut 67 orang (23 keluarga) dan Surau Kampung Tok Nandong 15 orang (4 keluarga).
   
Sehingga pukul 9 malam tadi, bilangan keluarga yang berpindah adalah 14,643 dan 73 pusat pemindahan telah dibuka di Terengganu iaitu 17 di Dungun, Hulu Terengganu (20), Kemaman (31), Marang (dua) dan Setiu (tiga).
           
Pusat-pusat pemindahan tersebut terdiri daripada bangunan sekolah, masjid, surau, rumah saudara mara, balai raya, dewan orang ramai, pusat pertanian dan sebagainya.
           
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 6,048 berbanding 7,582 orang yang direkodkan petang semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 8 malam tadi, masih terdapat 1,473 keluarga yang ditempatkan di 88 pusat pemindahan dari 79 penempatan di lapan daerah yang terjejas banjir.
           
"Pekan, masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,273 orang di 37 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
           
Di Kuantan, masih terdapat 1,082 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan, Maran (727 orang di 14 pusat pemindahan), Temerloh (555 di 14 pusat), Bera (305 di tujuh pusat), Jerantut (57 di lima pusat), Rompin (33 di dua pusat) dan Lipis (16 di satu pusat).
           
Sementara itu, jalan utama di Km 14 Jalan Temerloh-Triang masih ditutup kepada semua kenderaan.
           
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Segamat kekal seramai 266 orang daripada 63 keluarga dan ditempatkan di enam pusat pemindahan pada malam tadi.   
   
Menurut portal bencana MKN pada 9 malam, seramai 28 orang masih berada di Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (66 orang), Balai Raya Pogoh 2 (45 orang), Sekolah Agama Kampung Kuala Paya (26 orang), Balai Raya Kampung Tandong (85) dan Balai Raya Kampung Sanglang (16).
   
Mangsa terbabit masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing berikutan 'banjir termenung', keadaan di mana air banjir bertakung dan tidak dapat surut dengan cepat. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive