14 December 2013

First Malaysian Playboy bunny - Model Felixia Yeap dari Ipoh kini BERHIJAB ...


Langkah bertudung Playboy Bunny pertama warganegara Malaysia dan model, Felixia Yeap mengejutkan ramai orang walaupun beliau bukan seorang Muslim, malah peminatnya melabel tindakan tersebut sebagai "aksi publisiti".
Jelitawan 27 tahun dari Ipoh yang memulakan karier sebagai model sejak usia 19 tahun itu bagaimanapun tidak mengendahkan  sebarang kesangsian dan kritikan yang dilemparkan kepadanya sejak beliau mula memakai hijab beberapa bulan lalu.
"Mereka berkata saya lakukan ini bertujuan mencari Datuk Melayu kaya untuk berkahwin.
Menjelaskan tindakan beliau lagi, Yeap berkata walaupun ia satu kejutan kepada peminatnya, cinta beliau terhadap pakaian Islam  telah bermula ketika di bangku sekolah lagi.
Langkah Yeap dikritik ramai Muslim dan juga bukan Islam yang mengganggap beliau "tidak menghormati" wanita Islam yang  memakai hijab.
Mereka berkata sebelum memakai hijab, Yeap sepatutnya membuang semua gambarnya berpakaian Playboy Bunny dan lain-lain yang mendedahkan dan seksi.
Hampir 148,000 peminat di Facebook dan blog beliau mengkritik tindakan tersebut sebagai sebuah "aksi publisiti" untuk  mendapat lebih populariti dan kemasyhuran. Ada juga yang meninggalkan laman media sosial beliau selepas itu.
Yeap, yang masih menerima jemputan untuk hadir dalam acara Playboy dan majlis di seluruh dunia walaupun telah bersara sebagai  Bunny pada 2010, mempertahankan tindakannya itu.
Beliau berkata, walaupun ada umat Islam mengkritik, kebanyakan komen negatif datang daripada bukan Islam.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Yeap yang belum berkahwin, kelihatan anggun dan cantik memakai tudung berwarna merah  jambu.
Katanya beliau sangat suka dengan baju kurung dan pakaian tradisi masyarakat Melayu-Islam

"Saya mengidamkan untuk memakai tudung tetapi peluang tersebut hanya saya dapat pada tahun ini ketika mencuba nasib dalam temuduga komersil televisyen Celcom untuk sambutan Hari Raya.
"Ia tudung berwarna biru dan saya jatuh cinta terus dengannya. Kemudian, saya mempunyai satu lagi peluang mengenakan tudung  apabila menjadi model untuk sebuah butik Islam dalam pertunjukan fesyen semasa Hari Raya," katanya.
Yeap, yang juga bekas guru tadika, memulakan kerjaya dalam pemodelan pada tahun 2005 apabila dia memasuki pertandingan Dewi  Remaja yang dianjurkan oleh sebuah majalah tempatan dan menjadi salah seorang finalis ketika itu.
Beliau kemudiannya menyertai banyak pertandingan ratu cantik lain dan di puncak kerjayanya telah dijemput untuk menjadi Playboy Bunny dan bekerja di sebuah kelab di Macau.
Tetapi kerjayanya di kelab itu hanya bertahan sebulan apabila Yeap membuat keputusan untuk pulang ke tanahair bagi meneruskan  kerjaya sebagai model.
"Memang saya tidak pernah berniat untuk bekerja di sana untuk suatu tempoh yang lama. Ya, ia menyeronokkan dan saya belajar banyak perkara tetapi  permodelan adalah cita-cita saya bukan bekerja di kelab itu," kata Yeap.
Mengenai keputusan dan persepsi negatif terhadap pemakaian tudung oleh ke atas beliau, Yeap tidak menyalahkan peminat yang "keliru" dengan tindakannya.
"Saya menyalahkan mereka. Mereka yang tidak mengenali saya, tidak membaca apa yang saya tulis, akan keliru.
"Sesi penggambaran dan pentas permodelan masa lalu yang terpapar dalam Facebook dan blog saya, itu adalah pencapaian saya.
"Saya mahu orang tahu, jika saya boleh berhenti menjadi seksi, tutup diri saya sendiri, menjadi orang yang lebih baik, seorang wanita dihormati, mengapa mereka tidak boleh memahami cerita dan moral di sebaliknya? Biarkan ia menjadi inspirasi kepada orang ramai," kata Yeap lagi.
Beliau memberitahu dirinya lebih selesa dengan penampilan terbaru yang lebih sopan ini.
"Orang tidak melihat anda kerana saiz payudara anda atau bentuk badan anda, sebaliknya, melihat anda kerana kepintaran dan peribadi anda.
"Saya tidak menafikan saya menangis beberapa kali semasa bekerja di atas pentas peragaan baru-baru ini. Saya suka apabila  menutup diri saya, jadi apabila saya terpaksa tunduk kepada tuntutan kerja yang memerlukan saya seksi, saya berasa diri  dieksploitasi," katanya.
Yeap menegaskan mempunyai niat baik dalam memakai tudung dan berada dalam sebuah negara yang berbilang kaum, beliau sedar sensitiviti agama dalam perkara ini.
"Saya tidak melakukan ini untuk tidak menghormati pihak lain. Saya melakukan ini dengan penuh ikhlas dan niat yang baik.

"Saya akui bahawa saya seorang berfikiran bebas. Apa yang saya katakan adalah, jika seseorang sedang cuba untuk belajar  sesuatu dan anda terus menolak mereka jauh, mereka akan melarikan diri. Mereka akan bertanya kenapa mereka ditolak daripada  sesuatu yang mereka cuba untuk belajar," katanya.
Beliau berkata jika agama boleh menunjukkan tentang keindahan hidup, orang ramai juga harus memahami tindakannya.
"Orang tertarik kepada perkara-perkara yang indah. Begitu juga saya. Dan jika agama boleh menunjukkan kepada saya keindahan hidup,  mengapa saya perlu menentang hanya kerana beberapa pihak rasis dan pelampau terkeliru dan cuba memutarbelitkan perkara ini?
"Adakah mereka cukup jujur atau menganggap diri mereka lebih besar untuk menghakimi manusia lain? Lainlah kalau mereka itu  tuhan. Tetapi berdasarkan tingkah laku mereka mengutuk, menghina dan berkelakuan sebegitu... saya tidak fikir begitu," katanya.
Yeap berkata sedih melihat orang sebegini.
Yeap berkata di sebalik semua kritikan, beliau gembira kerana dapat menjadi inspirasi kepada orang ramai dan mengingatkan sesetengah pihak tentang agama mereka.
Beliau juga menerima pandangan yang mengganggapnya pelik hanya kerana memakai tudung.
"Jika orang ramai berasa pelik seorang bukan Islam memakai tudung, jadi biar sajalah," kata Yeap.
Malah, Yeap berkata keluarganya juga banyak memberi sokongan kepada beliau dalam memakai tudung, memujinya bertambah  cantik.
Bagi persembahan pentas permodelan, Yeap berkata perlu memenuhi syarat yang telah dipersetujuinya sebelum memakai tudung  sebelum ini.
"Bulan ini akan menjadi tugasan terakhir saya. Saya perlu membuat beberapa penampilan untuk Playboy Bunny Antarabangsa.
"Ramai yang gagal untuk memahami bahawa ini adalah satu komitmen kerja dan saya seorang model profesional. Saya perlu  melaksanakan kerja saya dan  walaupun saya mahu meninggalkan sesuatu, saya perlulah tinggalkannya dengan bangga."
Mengenai azam Tahun Baru Cina, Yeap berkata akan lebih memilih dalam pentas peragaan kali ini.
Ditanya sama ada beliau akan memakai tudung untuk selamanya, Yeap berkata sedang perlahan-lahan belajar menjadi seorang yang  lebih baik.
"Saya mahu menjadi seorang yang lebih baik, wanita yang lebih baik. Tahun 2014 akan menjadi permulaan sesuatu yang indah,"  kata Yeap.
Yeap telah dipaparkan dalam majalah FHM tempatan dan luar negara diupah sebagai Playboy Bunny di sebuah kelab di Macau.
Sebelum itu, beliau mengambil bahagian dalam rancangan realiti televisyen yang dikenali sebagai "I Wanna Be Model" dan disenaraikan antara peserta akhir semasa pusingan ketiga.
Beliau juga merupakan naib juara untuk Miss World Malaysia Cina 2006 dan peserta akhir untuk Dewi Remaja Malaysia. - TMI


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=110572:saya-berniat-baik-pakai-tudung-kata-bekas-playboy-bunny&Itemid=2#ixzz2nVqbl2CD 
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter.



1 comment:

5sal said...

Semuga mendapat hidayah dari ALLAH swt.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive