24 December 2013

Pengerusi Turun @ Azan Safar ditahan polis

Polis menahan Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar di Kuala Lumpur malam tadi dan akan disiasat mengikut seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 10.00 pagi ini berhubung satu rancangan perhimpunan pada malam ambang tahun baru 2014 yang dikatakan berniat menggulingkan kerajaan.
Azan ditahan reman kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika sedang makan bersama kawan-kawannya di sebuah restoran di Kampung Baru.
Azan yang sebelum ini melancarkan Turun di hadapan Kompleks Membeli-belah Sogo merancang untuk mengadakan himpunan ketika sambutan ambang tahun baru 2014 di Dataran Merdeka sebagai protes kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan tarif elektrik akan naik sebanyak 15 peratus bermula Januari 2014. Selain itu, kadar tol di 15 lebuh raya juga dijangkakan naik.
Pada September, Putrajaya memotong subsidi petrol RON 95 dan diesel yang menyaksikan kenaikan harga bahan bakar itu dan harga barang keperluan asas lain.
Pada Oktober semasa membentangkan Bajet 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan mengumumkan subsidi gula dihapuskan secara serta-merta.
Kumpulan aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk polis kerana menahan Azan malam tadi.
“Kini masih dalam rumah pasung. SAMM mempersoalkan apa keperluan tangkapan seperti ini ? Boleh sahaja panggil elok - elok datang ke balai polis untuk ambil maklumat,” kata kumpulan aktivis itu dalam satu kenyataan hari ini.
“SAMM mendesak pembebasan segera Azan Safar,” kata kenyataan itu. – 24 Disember, 2013. -TMI

1 comment:

pok amid littor said...

Ditahan polis? apa nak diherankan!! Kau tengok muka ketua polis tu, muka orang tak beriman dan takde ehsan ker?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive