KUALA LUMPUR 23JAN: Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih) menyerahkan surat ke Jabatan Perdana Menteri hari ini bagi mencadangkan pertemuan dua hala antara gabungan 83 NGO itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut wakil sekretariat Bersih, Mandeep Karpall, surat turut dialamatkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, Putrajaya jam 1 tengah hari ini.
“Surat diserah melalui wakil Bersih, Adam Adli tengah hari ini,” kata Mandeep.
Antara kandungan surat mendesak pertemuan dua hala itu ialah tuntutan mengadakan reformasi sistem pilihan raya, perbincangan mengenai cara pelantikan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan isu persempadanan semula.
Dalam temubual eksklusif Suara Keadilan bersama Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, NGO itu akan turun ke jalan raya sekiranya SPR meneruskan cadangan persempadanan semula dan menambah kerusi parlimen tanpa mengikut perlembagaan.
Kata Maria, SPR tidak mematuhi perkara 46 perlembagaan Malaysia dalam proses persempadanan semula dengan menambah kerusi tanpa memindanya pada 2003 dan 2005
Pada tahun 2003 berlaku penambahan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dari 199 kerusi kepada 219 kerusi, manakala pada tahun 2005, dari 219 kerusi kepada 222 kerusi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58500
No comments:
Post a Comment