09 January 2014

Michael Schumacher

Forza Michael Schumacher! 

Kebanyakan dari kita masih lagi terkejut dengan berita bahawa juara 7 kali Formula 1, Michael Schumacher mengalami kecederaan serius di kepala setelah satu kemalangan bermain ski pada 29 Disember tahun lepas. Doktor telah meletakkan beliau di dalam keadaan koma untuk meningkatkan peluang untuk hidup.

Dengan 91 kemenangan di dalam Formula 1, Schumi telah melakar nama sebagai salah satu lagenda bidang lumba permotoran dan menjadi piawaian yang mesti di atasi oleh para pelumba lain. Kini beliau melakar nama sebagai aktivis kemanusiaan dengan memperjuangkan isu-isu kemiskinan, perhambaan kanak-kanak dan keselamatan jalan raya. Malah penglibatan beliau sebagai duta UNICEF telah menggalakkan penyertaan lebih ramai personaliti dan selebriti sekaligus meningkatkan profail usaha-usaha kemanusiaan PBB.

Schumi juga sebenarnya dekat dengan Malaysia dan Asia Tenggara secara amnya. Beliau sememangnya tertarik dengan keindahan dan hospitaliti Langkawi dan kerap bercuti ke sana. Beliau pernah menyumbang sehingga 10 juta dolar untuk tabung tsunami Asia, satu jumlah yang lebih besar dari kebanyakan sumbangan yang dibuat oleh negara-negara penyumbang.

Persona profesional Schumi menampilkan watak yang serius dan kompetitif namun bagi yang mengenali beliau secara dekat, Schumi adalah seorang suami dan ayah yang penyayang yang gemar bergurau dan berkelakar, sifat yang kadangkala dipersaksikan kepada masyarakat awam. Peminat beliau pastinya masih ingat gurauan beliau yang muncul sebagai The Stig, pemandu handalan misterius di dalam rancangan automotif BBC, Top Gear. Beliau juga pernah muncul sebagai watak kereta Ferrari di dalam filem animasi Cars terbitan Disney-Pixar.

Adalah sesuatu yang ironi untuk mendapati Schumi di dalam keadaan parah setelah kemalangan di lapangan ski meskipun beliau saban minggu mempertaruhkan nyawa di sirkit perlumbaan. Mungkin ianya adalah satu peringatan dari Allah swt kepada kita semua bahawa ketentuan ajal maut adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka dan menjadi kemestian untuk kita lebih menghargai amanah kehidupan.

Semoga Schumi segera sembuh dan boleh terus berlumba di dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Forza Michael Schumacher!

Dari peminat anda di Malaysia,

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, 
Naib Ketua Pemuda DPPM

sumber

1 comment:

Anonymous said...

Semoga beliau sembuh kembali dan meneruskan kerja2 amal dan Allah kurniakan petunjuk dan hidayah serta bukakan hati beliau dan keluarga untuk menerima Islam sebaga agamanya..amiiin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive