08 January 2014

PTPTN nafi pinjaman dimansuh

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menafikan pinjaman PTPTN dimansuhkan sepertimana disebarkan dalam satu akaun Facebook.
Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan pemilik laman sosial itu yang menyebarkan maklumat palsu itu untuk diambil tindakan.
"PTPTN tidak pernah membuat keputusan sedemikian kerana setiap dasar kerajaan berkaitan PTPTN akan diputuskan Kabinet," katanya kepada pemberita selepas mempromosi Pesta Makanan Tradisional Lenggong di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak di Ipoh hari ini.
Carian di laman sosial Facebook mendapati pengguna yang menggelar dirinya "RajaNusantaragroup Empayar Langkasuka Nusantara" menyebarkan satu surat kononnya badan itu memansuhkan pembayaran balik pinjaman kepada yang mempunyai hutang PTPTN tertangguh sehingga tahun 2013.
Sementara itu, Shamsul Anuar menasihatkan peminjam yang terjejas akibat banjir baru-baru ini supaya menghubungi pejabat PTPTN untuk memaklumkan masalah pembayaran yang mereka hadapi.
"Kita meminta mereka yang terlibat menghubungi pihak kami di pejabat PTPTN negeri supaya mereka boleh membuat penangguhan pembayaran balik pinjaman atau kita boleh menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman mereka," katanya. – Bernama, 7 Januari, 2014. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive