08 January 2014

DSP cabul 2 pelajar jalani praktikal

IPOH - Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan mencabul kehormatan dua pelajar wanita akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pegawai terbabit ‘menghilangkan diri’ adalah tidak benar.

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan pegawai terbabit dan dipercayai tidak ditemui kerana sedang berehat di rumah untuk mencari ketenangan.

“Kes ini dijangka akan diselesaikan segera dan sejurus kertas siasatan siap, kita akan rujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk keputusan seterusnya.

“Sama ada kes tersebut mempunyai asas atau tidak terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya  untuk menentukannya,” katanya.

Terdahulu, Acryl menghadiri Majlis Kesyukuran Balai Polis Bercham dan Kampung Rapat kerana berjaya menjadi juara bagi pertandingan balai ‘league table’ 2013.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam; Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong; Ketua Polis Balai Bercham, Inspektor Soh Sheng Siong dan Ketua Polis Balai Kampung Rapat, Inspektor Raja Mohd Zani Raja Omar.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 354 iaitu mencabul kehormatan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.
Dalam kejadian 2 Januari lalu, dua pelajar wanita berusia 21 tahun yang menjalankan latihan amali di sebuah balai polis di Taiping mendakwa pegawai terbabit telah memegang dagu dan memeluk dari belakang di sebuah bilik di balai berkenaan.

Berikutan itu, kedua-dua pelajar bertindak membuat laporan polis pada Jumaat lalu berhubung perbuatan pegawai polis berusia 40-an.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive