07 February 2014

Pemimpin politik Myanmar terselamat cubaan bunuh di Bukit Bintang

FEBRUARY 07, 2014
Dua pemimpin parti politik Myanmar termasuk Pengerusi Parti Pembangunan Kebangsaan Rakhine (RNDP), Dr Aye Maung terselamat dalam cubaan membunuh di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Menurut sumber polis, beberapa das tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki bermotosikal tidak mengenai sasaran iaitu kereta BMW yang dinaiki pemimpin itu bersama tiga lagi kenalannya di Jalan Alor.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, turut bersama Aye Maung ialah Pengerusi Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thor Aung dan dua lagi warga Myanmar.
Mereka dikatakan baru meninggalkan Plaza Low Yat sebelum kenderaan mereka diserang dua lelaki berkenaan yang dipercayai rakyat Myanmar.
"Susulan tembakan itu, kenderaan dinaiki Aye Maung terus memecut ke sebuah hotel di ibu negara sebelum laporan polis dibuat. Tiada kecederaan dilaporkan terhadap mereka," kata sumber itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.
Aye Maung merupakan pengerusi sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine. - Bernama, 7 Februari, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive